Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
150 kontena sampah plastik dihantar ke negara pengeksport
Diterbitkan:  Jan 20, 2020 1:39 PM
Dikemaskini: 6:29 AM

Sebanyak 150 buah kontena sisa plastik dengan anggaran 3,737 metrik tan dihantar pulang ke negara pengeksport bahan buangan itu.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata penghantaran balik kontena yang kebanyakannya ke negara maju itu tidak membabitkan sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan.

Beliau berkata, semua kontena itu dihantar melalui tiga pelabuhan utama negara iaitu Pelabuhan Barat dan Utara Klang, Pulau Pinang serta Sarawak.

"Kos penghantaran balik kontena sisa pepejal plastik ini ditanggung oleh pihak pengimport atau syarikat perkapalan, dan ini adalah yang pertama kali dalam sejarah negara ia dihantar balik secara skala besar.

"Kerajaan memandang serius terhadap isu kemasukan sisa plastik haram ke negara ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan Malaysia tidak menjadi tong sampah dunia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Yeo, daripada 150 kontena sisa pepejal itu, membabitkan pengeksport dari Perancis, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Sepanyol dan Jepun.

"Setakat ini, kita tidak menerima sebarang penolakan daripada negara-negara terbabit, semuanya memberi respons dan kerjasama dengan baik,” katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan akan melancarkan Pelan Tindakan Kebangsaan Bagi Penguatkuasaan Sisa Plastik (HS 3915) bulan depan bagi menyeragamkan prosedur aktiviti penguatkuasaan di lapangan oleh agensi berkaitan.

Katanya, prosedur itu dijangka akan membabitkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Pengurusan Sisa dan Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SW Corp) dan pihak berkuasa pelabuhan.

Lihat Komen
ADS