Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kaedah bayaran tanpa tunai digalakkan di R&R - Loke

Kementerian Pengangkutan menggalakkan pelaksanaan kaedah pembayaran tanpa tunai dalam sistem pengangkutan awam dan di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di seluruh negara.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata ia bertujuan memodenkan sistem pengangkutan awam di samping memberi dorongan kepada masyarakat untuk lebih bersedia ke arah sistem ekonomi digital.

“Di peringkat kementerian kita memang alu-alukan penggunaan pembayaran tanpa tunai ini dan saya rasa penggunaan e-Dompet ini ada potensi yang sangat besar, ia perlu diperluaskan ke pelbagai bidang termasuk di R&R dan sistem pengangkutan awam khususnya bas henti-henti.

“Kita mahu modenkan sistem pengangkutan awam sekaligus melicinkan perjalanan bas, selama ini bas henti-henti memang kita tahu guna duit syiling atau wang kertas dan kadang-kadang tidak begitu efisien sehingga menyukarkan pengguna,” katanya kepada pemberita selepas majlis Perasmian Dewan Orang Ramai Titi di Kuala Klawang, hari ini.

Yang turut hadir Undang Luak Jelebu Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad.

Mengulas lanjut, Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban dan Ahli Dewan Undangan Negeri Chennah berkata beliau telah meminta pengusaha pengangkutan awam melaksanakan sistem tanpa tunai untuk kebaikan dan kemudahan orang ramai.

Dalam perkembangan sama, Loke memberi jaminan bahawa data peribadi mereka dilindungi.

“Saya rasa kerajaan sudah berikan pelbagai penjelasan dan jaminan bahawa tiada isu penyalahgunaan data peribadi dan pendaftaran e-Dompet hanya mengambil maklumat asas sahaja sama seperti penggunaan aplikasi lain.

“Tambahan, kita ada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan mana-mana pihak yang mendapati terdapatnya penyalahgunaan data peribadi mereka, laporan polis boleh dibuat,” katanya.

Pada majlis itu, dewan itu, yang dinaik taraf pada tahun lepas melibatkan kos RM700,000, dirasmikan oleh Undang Luak Jelebu dan turut dinamakan semula sebagai Dewan Masyarakat Jelebu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS