Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Tawaran ambil alih MAS perlu telus, kata Nufam
Diterbitkan:  Jan 20, 2020 11:56 PM
Dikemaskini: 3:56 PM

Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) menggesa kerajaan untuk mengamalkan ketelusan berkenaan berhubung berbagai cadangan untuk mengambil alih syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines Berhad (MAS).

Ini selepas Focus Malaysia melaporkan terdapat lima tawaran untuk mengambil alih MAS, termasuk daripada AirAsia Group dan Japan Airlines.

"Kami percaya pihak yang terlibat dengan MAS berhak untuk tahu rancangannya terlebih dahulu berbanding mendengarnya daripada pihak ketiga.

"Kami tidak mahu diserang hendap oleh sebarang berita atau pelan pengambilalihan secara tiba-tiba oleh Kumpulan Air Asia Berhad yang mana ramai orang mendakwa kini secara senyap-senyap sedang berlaku.

"Kami mahu Khazanah Nasional menjelaskan hal ini dan mengeluarkan kenyataan mengenai sebarang rancangan pengambilalihan tanpa orang perlu berteka-teki tentang apa yang bakal terjadi kemudian," katanya.

MAS, yang ditimpa dua tragedi melibatkan pesawatnya pada tahun 2014, sedang berdepan masalah dan memerlukan kerajaan menyelamatkannya.

Kerajaan, melalui Khazanah Nasional Berhad, pada tahun 2015 telah mengambil alih MAS tetapi langkah itu memakan belanja yang sangat besar.

Khazanah dilaporkan memperuntukkan RM6 bilion untuk pelan penyelamatan dan 70 peratus dana telah digunakan pada Januari 2018.

Nufam berkata kerajaan sepatutnya berhenti membuat orang tertanya-tanya mengenai rancangannya untuk masa depan MAS.

"Ketelusan sangat penting di sini kerana dengan itu rakyat akan mendapat lebih keyakinan dari segi tadbir urus yang baik.

"Setiap kali kami bertanya mengenai perkembangan MAS, semua kelihatan terlalu senyap tetapi rundingan tawaran sudah berjalan di belakang. Mengapa begitu rahsia?

"Terdapat keperluan untuk menjadi jujur mengnai rancangan ini memandangkan MAB adalah kepentingan negara," katanya.

Nufam juga melahirkan kebimbangan jika AirAsia dipilih sebagai calon pengambilalihan, menyatakan bahawa syarikat penerbangan kos rendah itu juga mempunyai cabaran kewangannya yang tersendiri.

"Kerajaan mesti menamakan pihak-pihak yang berminat atau terlibat dalam cadangan pengambilalihan MAS.

"Sesiapa sahaja boleh mengambil alih syarikat penerbangan nasional tetapi ia tidak patut dibuat dengan mengorbankan orang yang tidak bersalah dan para pekerja di syarikat ini," katanya.

Nufam juga menimbulkan kebimbangan mengenai pemberhentian kerja jika pengambilalihan tersebut berlaku.

Kesatuan sekerja itu juga risau sekiranya pihak yang mahu mengambil alih syarikat penerbangan nasional tersebut mungkin lebih berminat dengan aset MAS.

"Tapi apa yang akan berlaku kepada kru, juruterbang, jurutera dan mereka yang bekerja untuk operasi jarak jauh ini?" katanya.

Nufam berkata MAS berada dalam keadaan sekarang kerana keputusan yang buruk pada masa lalu dan kurang perundingan dilakukan.

"Sudah tiba masanya untuk menjadi lebih telus dengan mana-mana rancangan terutama yang melibatkan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan seperti MAS.

"Kami pasti fikir rakyat berhak tahu," katanya.

Lihat Komen
ADS