Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mengumumkan barisan 25 calonnya untuk bertanding dalam pilihanraya negeri Sarawak, yang menggambarkan aspirasi parti itu untuk membentuk sebuah negeri Sarawak yang baru.

Barisan calon-calon PKR terdiri daripada muka baru dan berpengalaman termasuk bekas pegawai bank, Ibrahim Bayau yang akan bertanding melawan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, Tan Seri Abdul Taib Mahmud. di kawasan Balingian.

Ketua PKR Sarawak, Wan Zainal Wan Sanusi berkata, Ibrahim yang berusia dalam lingkungan 40an dipilih khusus untuk mencabar Ketua Menteri Sarawak yang telah berkuasa selama 25 tahun itu.

"Dia dipilih khas untuk menandingi Taib. Ketika Taib menjawat jawatan Ketua Menteri umurnya seusia dengan umur Ibrahim. Kami memilih calon yang lebih muda kerana mahu menghantar isyarat kepada Taib bahawa sudah sampai masa bagi beliau berundur," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas barisan calon-calon yang diumumkan oleh Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Kuching tengah hari tadi, Wan Zainal berkata, mereka dipilih kerana komitmen untuk berkhidmat kepada rakyat dan parti.

"Calon-calon kami termasuklah para profesional seperti doktor perubatan, peguam dan akauntan. Kami juga mempunyai bekas-bekas pegawai tinggi kerajaan dan pemimpin pemimpin pertubuhan bukan kerajaan. Saya rasa ia adalah satu pasukan yang seimbang," jelasnya.

Wan Zainal, percaya calon-calon PKR ini akan memberi saingan sengit kepada BN kerana rakyat Sarawak sudah bersedia untuk membuat perubahan dan menunjukkan minat besar pada manifesto bersama barisan pembangkang, Barisan Bersatu Sarawak (BBS).

BBS dianggota oleh PKR, Parti Tindakan Nasional Sarawak (Snap) dan Kongres Dayak Malaysia (MDC).

Manifesto BBS

"Anda akan terkejut melihat bagaimana rakyat menerima manifesto kami. Mereka mahukan perubahan sedangkan kerajaan BN selama ini gagal membawa perubahan yang dikehendaki kerana para pemimpin BN bimbang kepentingan mereka akan terjejas jika perubahan dibuat," katanya.

Wan Zainal juga percaya manifesto BN yang menjanjikan pembangunan tidak mendapat sambutan baik kerana rakyat tahu para pemimpin parti itu tidak mengotakan janji-janji mereka.

"Mereka menjanjikan pembangunan tetapi hingga ke hari ini tidak banyak pembangunan dibuat. Masih ada projek di bawah Rancangan Malaysia Keenam yang belum dilaksanakan hingga kini. Umpamanya projek Universiti Sarawak hingga sekarang masih belum siap, " katanya.

Wan Zainal akan bertanding di kerusi Samariang, berhadapan dengan calon BN, Sharifah Hasida Wan Razali, anak kepada Ketua Wanita PBB, Sharifah Mordiah.

Bekas pegawai polis, Abang Ibrahim Abang Othman akan mencabar adik lelaki Taib, Ali Mahmud di Muara Tuang manakala bekas pesara kerajaan, Sobey Daud menentang Naib President PBB, Datuk Adenan Satem.

Sementara itu doktor gigi, Dr Noh Sa'bi akan bertanding menentang bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Mohamad Asfia Awang Nassa di Semop.

Walaupun sebahagian besar kerusi yang ditandingi PKR adalah kawasan majoriti Melayu/Melanau, parti itu turut mengharap memenangi empat kawasan yang didominasi pengundi Cina iaitu Padungan (Dominique Ng Kim Ho), Batu Kawah (Wong Huan Yu), Piasan ( Dr Francis Ngu) dan Senadin (Tony Chai Chook Fui).

Pertaruhan terbaik PKR ialah di Padungan kerana calonnya Dominique Ng adalah seortang peguam yang terkenal dan kuat memperjuangkan isu tanah adat di negeri itu.

Kerusi lain yang ditandingi PKR ialah Pantai Damai (Idris Johari), Demak Laut (Saidam @ Massudin Sahini), Tupong ( Ramlee Mahtar), Satok (Mohamad Jolhi), Asajaua (Mosidi Sait), Sadong Jaya (Piee Bin Ling), Simunjan (Sakawai Nahari)

Subuyau ( Mohamad Akek), Lingga (Abang Othman Abang Gom), Saribas (Abang Zulkifli Aband Engkeh), Kalaka ( Jini Sahini), Belawai ( Abang Sarbini Abang Ojek), Bekenu (Mohdak Ismail), Lambir (Saji Samat) dan Bukit Sari (Mohamad Ibrahim).

Parti pembangkang lain yang turut bertanding ialah DAP di 12 kerusi dan PAS, satu kerusi di Beting Maro. Berita asal