PM: Shahrir bukan lagi pengerusi BBC
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Datuk Shahrir Abdul Samad tidak lagi menjadi pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) dan beliau percaya ahli Parlimen Johor Bahru itu tidak akan dilantik semula ke jawatan tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Datuk Shahrir Abdul Samad tidak lagi menjadi pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) dan beliau percaya ahli Parlimen Johor Bahru itu tidak akan dilantik semula ke jawatan tersebut.
"Kita nak gugurkan dia daripada jawatan yang dipegang olehnya, tapi dia awal-awal lagi sudah jangka tindakan akan diambil, maka dengan itu Datuk Shahril tidak lagi menjadi Pengerusi BNBBC dan saya percaya dia tidak akan dilantik lagi ke jawatan itu," katanya.
Abdullah yang juga Presiden Umno memberitahu demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno selama lebih empat jam di ibu pejabat Umno di Menara Datuk Onn di Kuala Lumpur hari ini.
Shahrir melepaskan jawatannya itu Khamis lalu, selepas kebanyakan ahli Parlimen BN tidak menyokong pendiriannya berhubung usul Ketua Pembangkang Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) untuk membawa satu laporan akhbar mengenai dakwaan salahlaku seorang ahli Parlimen yang dikatakan mencampuri urusan Kastam Diraja Malaysia, ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Abdullah juga ditanya mengenai kenyataan BNBBC yang antaranya mencadangkan supaya Shahrir dilantik semula sebagai Pengerusi BNBBC, yang akan ditentukan pada mesyuarat khas kelab itu esok.
Menrut laporan Bernama, Perdana Menteri berkata, semua pihak perlu menghormati tindakan Shahrir untuk melepaskan jawatan itu.
Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz akan berjumpa dengan ahli BBC esok, untuk memberikan penjelasan lanjut berhubung isu yang menyelubungi kes Shahrir.
Tiada tindakan dispilin
Abdullah juga berkata Shahrir tidak perlu dikenakan tindakan disiplin atau sebagainya berikutan tindakannya menyokong usul pembangkang "kerana dia sendiri sudah mengambil tindakan awal dengan meletak jawatan".
Beliau juga menganggap isu Shahrir itu selesai dan sekali lagi memuji Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana selaku Ketua Whip, mengambil tindakan baik apabila menerima peletakan jawatan Shahrir.
Abdullah juga berkata, pada mesyuarat MT hari ini, Shahrir yang hadir tidak menjelaskan secara lanjut kenapa beliau bertindak menyokong usul pembangkang itu hingga membawa kepada peletakan jawatannya.
Mengenai cadangan Shahrir supaya kerajaan menubuhkan jawatankuasa pilihan bagi menggubal peraturan dan garispanduan berhubung etika Ahli Parlimen ketika berurusan dengan pegawai kerajaan, Abdullah berkata MT hari ini ada berbincang mengenainya.
Secara amnya, kata beliau, cadangan itu adalah baik dan MT akan mengadakan perbincangan lanjut bagi memperhalusi "baik buruk cadangan ini" sebelum mengemukakan kepada kerajaan.
"Tapi umumnya MT melihat ini sebagai satu cadangan yang baik," katanya.
Perdana Menteri juga menegaskan bahawa semua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) perlu mematuhi peraturan parti dan mereka tidak diberi kebebasan untuk mengundi mengikut suara hati dalam mana-mana usul yang dibentangkan di parlimen.
Tiada kelonggaran
Selepas mesyuarat ahli jawatankuasa BBC hari ini, Setiausahanya, Datuk Rosli Mat Hassan mengeluarkan kenyataan empat muka surat meminta kerajaan dan parti membenarkan merea mengundi mengikut suara hati.
Perdana Menteri berkata setiap ahli parti, termasuk ahli Parlimen BN, mempunyai disiplin yang perlu dipatuhi dan mereka perlu faham mengenai mengenai perkara ini.
"Semua ahli parti ada peraturan yang dia perlu faham dan perlu diikuti. Setiap ahli parti ada disiplin ... tidak ada kelonggaran dan kebebasan diberikan (dalam) membuat apa yang disukai. Itu adalah peraturan parti," katanya.
Isnin lalu, Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) yang mahukan agar wakil rakyat BN diberikan kebebasan untuk mengundi mengikut suara hati terhadap apa-apa usul yang dibentangkan di Dewan Rakayt.
BBC bagaimanapun mengakui seperti halnya dalam House of Commons di Britain, Whip parti boleh memaksa ahli Parlimen supaya mengundi mengikut perkara yang diputuskan parti dalam isu yang membabitkan perkara penting, seperti rang undang-undang kewangan dan undi tidak percaya serta pembacaan kedua rang undang-undang yang penting.
Perdana Menteri yang juga ditanya mengapa BN tidak mengikut pendekatan sesetengah negara maju yang meberi kebebasan kepada ahli parti untuk membuat keputusan dalam sesuatu usul yang dibentangkan berkata, demokrasi yang diamalkan oleh kerajaan BN terbukti berjaya sehingga sekarang.
"Kita punyai demokrasi sendiri, kita survive berdasarkan kepada apa yang kita amalkan sebelum ini, dan kita akan terus dengan apa yang kita amalkan," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.