Tindakan ahli Parlimen Jasin Datuk Mohd Said Yusof meminta pihak Kastam Diraja Malaysia (KDRM) supaya memberi pertimbangan berhubung satu kes rampasan kayu bergergaji di Melaka baru-baru ini adalah tidak wajar, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Saya menganggap itu bukan satu perkara yang wajar dilakukan. Tetapi pihak kastam sendiri mesti tahu apa tindakan yang hendak diambil walaupun pihak MP mengatakan bahawa niatnya adalah hanya untuk membantu sebuah syarikat bumiputera dan beliaupun tidak akan melakukan perbuatan seumpama itu lagi," katanya.

Abdullah yang juga Presiden Umno berkata demikian semasa diminta mengulas tentang tindakan Mohd Said yang didakwa cuba mencampuri urusan pihak kastam pada 14 April lalu dengan meminta jabatan itu memberi pertimbangan berhubung satu kes rampasan kayu bergergaji.

Bernama melaporkan, Mohd Said sebelum ini dilaporkan secara terbuka mengakui bahawa beliau ada bertemu dengan pihak KDRM Melaka untuk berbincang mengenai isu rampasan kayu di Pelabuhan Sungai Linggi dan Sungai Rambai baru-baru ini, atas kapastinya sebagai seorang wakil rakyat.

Bercakap dalam satu sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini, Perdana Menteri menegaskan, hubungan wakil rakyat dan pegawai kerajaan perlu baik agar tidak disalahanggap oleh pegawai kerajaan sebagai campurtangan dari luar.

"Pentadbir mempunyai undang-undang dan peraturan yang perlu dilakukan begitu juga wakil rakyat, (mereka) juga mempunyai peranan untuk mengetengahkan masalah rakyat.

"Yang penting mesti ada persefahaman dan tidak berlaku tuduh menuduh antara kedua-dua pihak," kata Abdullah.