Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nasib permohonan Najib panggil pakar diketahui esok
Diterbitkan:  Jan 21, 2020 4:26 PM
Dikemaskini: 8:58 AM

KES SRC l Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan esok berhubung permohonan Najib Razak untuk memanggil pakar tulisan tangan Australia bagi mengesahkan kesahihan tandatangannya pada 13 dokumen yang dikemukakan sebagai bukti.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan mengumumkan penghakimannya pada pukul 9 pagi esok. Sejak semalam, mahkamah telah mendengar hujah kedua-dua pihak.

Peguam Najib mengemukakan permohonan itu pada 19 Disember, hanya selepas mahkamah memutuskan bahawa tertuduh terpaksa membela dirinya.

Semalam, peguam Najib berkata bahawa tanggungjawab terletak ke atas pendakwaan untuk membuktikan kesahihan 13 dokumen itu mengandungi tandatangan Najib.

Justeru, peguam Harvinderjit Singh memaklumkan kepada mahkamah, pihak pembelaan tidak perlu mempersoalkan kesahihan tandatangan pada peringkat pendakwaan.

Walau bagaimanapun TPP V Sithambaram tidak bersetuju dan berkata bahawa permohonan Najib untuk mempertikaikan kesahihan dokumen-dokumen itu hanya dibuat selepas fikir semula (afterthought).

Katanya, pihak pembelaan mempunyai peluang untuk mempertikaikan kesahihan dokumen semasa pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan.

"Tiba-tiba, keraguan itu meresap ke dalam fikiran mereka akibat perkara yang mereka temui semasa perbicaraan," katanya.

Sithambaram juga menegaskan bahawa jika tertuduh mempunyai keraguan tentang kesahihan tandatangan maka sewajarnya tertuduh membuat laporan polis.

"(Tertuduh akan) mengetahui tentang (dakwaan) pemalsuan sebelum perbicaraan bermula," kata peguam itu.

Sithambaram juga menuduh pihak pembelaan memfailkan permohonan itu sebagai satu taktik kerana pendakwaan telah menutup kesnya.

Beliau berkata tertuduh di bawah pemeriksaan balas memohon untuk melihat dokumen asal sebelum mengesahkan sama ada tandatangan berkenaan miliknya.

Bagaimanapun, katanya, pihak pendakwaan tidak boleh lagi mengemukakan bukti baru selepas tertuduh diarah membela dirinya.

Lihat Komen
ADS