Terjemahan Muktamad! Datuk Shahrir Samad tidak lagi memegang jawatan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) selepas rakan-rakan sejawatannya menarik balik cadangan untuk melantik semula beliau ke jawatan tersebut.

Sepatutnya BBC mengadakan mesyuarat khas hari ini untuk melantik semula ahli Parlimen Johor Bharu itu, tetapi pertemuan itu dibatalkan atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi malam tadi yang mahukan keputusan Shahrir itu dihormati oleh semua pihak.

Berikutan itu, Timbalan Pengerusi BBC, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Omar (BN-Larut) dilantik memangku jawatan Pengerusi BBC sehingga jawatan tersebut diisi.

Setiausaha BBC, Datuk Rosli Mat Hassan (BN-Dungun) memberitahu wartawan, mesej supaya dibatalkan mesyuarat tersebut disampaikan kepadanya oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, yang juga merupakan ketua whip BN malam tadi.

"Kami akan berbincang lebih lanjut dengan whip atau timbalannya nanti.....kami menghormati keputusan Perdana Menteri yang tidak mahu Shahrir tidak perlu dipujuk untuk dilantik semula ke jawatan berkenaan kerana beliau sendiri meletakkan jawatannnya," kata Rosli.

Menyentuh tentang pendirian BBC semalam yang mahu peraturan yang menetapkan ahli Parlimen BN mendapatkan kelulusan whip bagi menyokong usul yang dibawa oleh pembangkang, wakil rakyat Dungun itu berkata:

"Whip lebih tinggi kedudukannya daripada kami, oleh kerana kami penyokong kerajaan, maka kami tertakluk pada whip. Kami perlu merujuk kepada whip sebab kami mewakili parti."

Ditanya sama ada beliau dan ahli-ahli BBC lain kecewa dengan keputusan Perdana Menteri dan timbalannya itu, Rosli berkata:

"Kedua-dua mereka adalah ketua kami. Mereka tahu bagaimana untuk berlaku adil kepada kami dan mereka lebih berhak untuk membuat keputusan."

Semalam, BBC juga meminta diberikan kuasa untuk menyokong usul yang tidak menjejaskan kedudukan kerajaan, terutama yang dibentangkan pembangkang, mengikut suara hati sendiri. Bagaimanapun, Abdullah menolak permintaan itu dengan menegaskan semua ahli Parlimen BN mesti bertindak selari dengan kerajaan.

Dilema anggota BBC

Sementara itu Shahrir dalam sidang medianya pula berkata, bukannya mudah bagi beliau dan rakan-rakannya bertindak sebagai ahli BBC kerana sentiasa berada dalam dilema - untuk memuaskan hati pengundi dan mematuhi arahan parti bagi menyokong usul yang kadangkala tidak mewakili kepentingan pengundi.

Beliau bagaimanapun tidak terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri yang mengatakan wakil rakyat BN tidak boleh mengundi memgikut suara hati mereka.

"Saya tidak terkejut...kehidupan memang begini, kita kena melakukan sesuatu mengikut peraturan, tetapi mereka yang membuat peraturan tersebut perlu tahu bila peraturan perlu diubah," ujarnya.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz yang mengadakan sidang media di lobi Parlimen selepas bermesyuarat selama 30 minit dengan ahli jawatakuasa BBC pula menjelaskan:

"BBC sentiasa berada di bawah whip. Oleh itu, ia tidak tepat kalau ada mana-mana pihak mengatakan kelab ini tidak duduk di bawah whip."

Beliau mengulangi bahawa ahli-ahli BBC tidak diberi kebebasan untuk mengundi mengikut suara hati sendiri. Berita asal