Muka baru Murni Suhaili dan penyandang Datin Fatimah Abdullah dari Barisan Nasional (BN) menang tanpa bertanding, masing-masing di Daro dan Dalat pada hari penamaan calon hari ini, pilihanraya negeri Sarawak kesembilan.

Kedua-dua calon adalah dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) salah satu daripada empat parti komponen BN di Sarawak.

Daro adalah satu daripada sembilan kerusi baru dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak yang kini mempunyai 71 kerusi.

Di Dalat, Ibrahim Seruji menarik diri daripada bertanding sebagai calon bebas 15 minit sebelum tamat tempoh bagi mengemukakan kertas pencalonan, yang membolehkan Fatimah menang tanpa bertanding.

Tempoh satu jam untuk mengemukakan kertas pencalonan bagi pilihan raya negeri Sarawak kesembilan di pusat-pusat penamaan calon ditutup pukul 10 pagi.

Menurut laporan Bernama, kertas-kertas pencalonan kemudiannya dipamerkan selama sejam untuk sebarang bantahan sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya mengumumkan calon-calon yang layak bertanding.

Pengundian akan berlangsung 20 Mei. Pilihan raya negeri kali ini adalah untuk 71 kerusi, tambahan sembilan kerusi berbanding 2001. Barisan Nasional meletakkan calon di kesemua kawasan.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengemukakan kertas pencalonannya di Dewan Suarah Mesra, Mukah untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Balingian.

Diiringi 8,000 penyokong

Beliau yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengemukakan kertas pencalonannya kepada Pegawai Pengurus Pilihanraya Mohamad Nawawi pada jam 9 pagi.

Pencalonan beliau dicangkan oleh bekas Menteri Pelancongan Datuk Dr Leo Michael Toyad dan disokong oleh Ali Suhaili.

Taib yang Pengerusi BN Sarawak diiringi oleh kira-kira 8,000 penyokong yang diketuai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Timbalan Pengerusi BN, sejauh dua kilometer dari Masjid Setia Raja, Mukah ke pusat penamaan calon. Keadaan cuaca adalah baik.

Turut sama ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan, Sri Muhyiddin Yassin.

Taib bertanding bagi kali kedua di Balingian setelah berpindah dari DUN Asajaya. Dalam pilihanraya 2001, beliau menewaskan tiga calon bebas dengan majoriti 7,391 undi.

Pencabar Taib ialah Ibrahim Bayau dari Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ibrahim, 40, bekas pegawai bank dari Mukah, mengemukakan kertas pencalonannya pada jam 9.40 pagi.

Di Miri, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), mengemukakan kertas pencalonannya di Dewan Suarah Miri untuk mempertahankan kerusi DUN Piasau.

Beliau diiringi kira-kira 1,000 penyokong yang turut disertai Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr Fong Chan Onn serta Menteri Industri Perladangan dan Komoditi Datuk Peter Chin Fah Kui.

Calon DAP

Di Asajaya, calon BN dari PBB, Abdul Karim Rahman Hamzah tiba di pusat penamaan calon dan mengemukakan kertas pencalonannya untuk bertanding bagi kerusi DUN Asajaya pada 9.20 pagi dengan diiringi Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Ketua Pemuda Umno dan Pengerusi Pemuda BN.

Calon BN yang juga Timbalan Ketua Pemuda PBB itu turut diiringi kira-kira 1,000 penyokong BN ke pusat penamaan di Dewan Tan Sri Datuk Amar Haji Abang Ikhwan Zaini.

Terdahulu, pencabarnya dari PKR, Mosidi Sait menyerahkan kertas pencalonannya pukul 9.10 pagi.

Di Kidurong, satu-satunya kerusi yang terlepas daripada tangan BN kepada pembangkang pada pilihan raya lepas, calon BN Paul Yong Khing Yee mengemukakan kertas pencalonannya pada 9.12 pagi.

Beliau diiringi Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy ke pusat penamaan calon.

Calon DAP yang mempertahankan kerusi itu, Chiew Chiu Sing menyerahkan kertas pencalonan pada waktu yang sama.

Di Betong, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu menyerahkan kertas pencalonannya di Dewan Kenyalang, Pejabat Residen Betong untuk mempertahankan kerusi DUN Layar.