Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Country Garden: Pekerja dialih tugas atau diberi pampasan
Diterbitkan:  Jan 22, 2020 6:48 PM
Dikemaskini: 10:50 AM

Country Garden Real Estate Sdn Bhd yang merupakan pemaju Forest CIty menjelaskan bahawa proses integrasi syarikat itu akan menyaksikan sesetengah kakitangannya dialih tugas atau diberi pakej pampasan.

"Beberapa tenaga kerja dipindahkan ke jabatan lain yang sesuai dengan kemahiran mereka, ada yang dialih tugas kepada projek lain.

"Bagi mereka yang membuat keputusan untuk meninggalkan syarikat, perkhidmatan mereka kepada organisasi syarikat diiktiraf dengan ganjaran yang dipersetujui kedua-dua pihak," katanya.

Syarikat itu juga berkata kekuatan kakitangannya sekarang adalah 1,500, dengan 80 peratus adalah rakyat Malaysia.

Kenyataan itu sebagai respons kepada laporan oleh EdgeProp hari ini yang mendakwa hampir 400 kakitangan syarikat berkenaan telah dibuang bulan lepas dengan notis 48 jam.

Syarikat itu tidak menyebut jumlah kakitangan yang menerima berhenti kerja dan menerima pampasan, tetapi menyebut bahawa ia telah dilakukan dengan "sangat menghormati" proses perundangan.

Laporan oleh EdgeProp sebelum ini memetik pegawai Jabatan Tenaga Kerja Johor Bahru yang tidak dinamakan yang menyatakan bahawa ia tidak menerima apa-apa notis pemberhentian daripada syarikat itu.

Undang-undang memerlukan pemberhentian kerja melibatkan lebih daripada lima orang dilaporkan kepada Pejabat Buruh, dengan butiran seperti pakej pampasan dan alasan pemberhentian pekerja.

Menurut Country Garden Real Estate Sdn Bhd, syarikat itu perlu "merombak" tenaga kerja dan mengutamakan sumber mengikut arah pembangunan perniagaan tahunan dan ciri-ciri kitaran pembangunan industri.

"Ini bukan fenomena yang luar biasa dalam industri hartanah, sebaliknya ia merupakan langkah penting yang perlu diambil untuk pembangunan jangka panjang syarikat," kata syarikat itu.

Lihat Komen
ADS