MB kecewa minda rakyat Tganu masih di takuk lama
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh kecewa dengan sikap dan minda rakyat Terengganu yang tidak berubah setanding dengan arus pembangunan yang pesat di negeri itu.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh kecewa dengan sikap dan minda rakyat Terengganu yang tidak berubah setanding dengan arus pembangunan yang pesat di negeri itu.
Sebaliknya, kata beliau, rakyat Terengganu masih berada di takuk lama dan masih mengharapkan bantuan kerajaan dalam semua perkara.
"Ini cabaran yang sedang kerajaan negeri hadapi iaitu untuk mengubah minda penduduk Terengganu supaya lebih terbuka dan lebih berdikari," katanya dalam rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan TV3 pagi tadi.
Beliau berkata, kerajaan boleh membawa dan melaksanakan pembangunan tetapi ia tidak bererti jika minda rakyat masih ditakuk lama.
"Jadi kita meminta rakyat supaya bersedia untuk menerima pembangunan dan mendapat manfaat daripada pembangunan tersebut," katanya lagi.
'Tunai janji'
Bagaimanapun, kata Idris, kerajaan akan terus memajukan negeri supaya dapat bersaing dengan beberapa negeri lain.
Sebelum ini, dalam perjumpaan dengan rakyat Terengganu yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara, Idris berkata, walaupun baru dua tahun memerintah ia lebih baik daripada kerajaan PAS.
"Ini kerana kita menunaikan semua janji yang dibuat kepada rakyat dan sebab itu rakyat suka dan percaya dengan kerajaan yang ada sekarang," katanya lagi.
Beliau berkata, hanya pembangkang yang masih mendakwa kerajaan Terengganu tidak membawa kemajuan untuk negeri itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.