Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Batal PSS: Kenapa Warisan buat pusingan U, sindir Hisham
Diterbitkan:  Jan 22, 2020 10:35 PM
Dikemaskini: Jan 23, 2020 3:46 AM

Bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein menyindir Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal kerana didakwa melakukan pusingan U apabila membatalkan pelaksanan Pas Sementara Sabah (PSS).

"Sebelum kalah PRK Kimanis, bukan main garang PH-Warisan pertahan Pas Sementara Sabah (PSS).

"Sampaikan, apabila BN dan rakyat Sabah mengkritik PSS demi keselamatan dan kesejahteraan Sabah, PH-Warisan tuduh BN jadikan PSS modal politik.

"Malah, sanggup fitnah BN yang laksanakan PSS. Sekarang kenapa u-turn?" soal bekas menteri pertahanan itu dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Shafie hari ini mengumumkan keputusan kerajaan negeri membatalkan pelaksanaan PSS selepas Warisan tewas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis Sabtu lalu.

Menurut Shafie keputusan PRK itu memberi isyarat rakyat menolak pelaksanaan pas berkenaan.

“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah memutuskan supaya PSS dibatalkan setelah melihat dan mendengar suara rakyat.

"Kerajaan negeri akan memaklumkan keputusan ini kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.

Pada 6 Sep tahun lalu, kerajaan mengumumkan untuk melaksanakan PSS yang akan dikeluarkan kepada warga asing yang memegang dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci di Sabah berkuat kuasa 1 Jun 2020.

Pemegang IMM13 ialah pelarian Filipina yang melarikan diri ke Sabah pada 1970-an kettika meningkatnya keganasan puak pemisah di rantau Mindanao yang menyaksikan ramai pelarian daripada rejim Marcos.

Pendatang ekonomi diberikan Kad Burung-Burung pada tahun 1980-an dan selebihnya diberikan kad Sijil Banci oleh Pasukan Petugas Khas Persekutuan pada 1990-an.

IMM13 dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen, manakala kad Burung-Burung oleh Jabatan Ketua Menteri (JKM) dan sijil banci oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

BN dalam PRK Kimanis menggunakan PSS sebagai modal ketika mereka berkempen sehingga berjaya mempengaruhi pengundi menolak calon Warisan, Karim Bujang.

Menurut Hishammuddin, keputusan membatalkan pelaksanaan PSS merupakan pengajaran kepada Warisan.

"Ini pengajaran paling berguna buat PH-Warisan supaya jangan ego dan taasub berpolitik semata-mata sehingga sanggup abaikan kritikan rakyat.

"Tahniah rakyat Sabah dan Kimanis kerana mengajar PH-Warisan apa itu nilai dan makna kuasa rakyat!" katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan mengalu- alukan keputusan kerajaan Sabah membatalkan pelaksanaan pas tersebut.

"Ini adalah kehendak rakyat Sabah. Alhamdullilah pihak pembangkang terutamanya Umno/BN telah menjadikannya isu utama dalam PRK Kimanis.

"Namun ini tidak mencukupi. Hampir semua daerah di Sabah dibanjiri dengan banyaknya oleh pendatang asing tanpa izin (PATI)," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu mengekang kemasukan pendatang dan menghantar mereka yang sudah berada di Sabah balik ke negara asal mereka.

"Teruskan juga rundingan dengan kerajaan Filipina yang telah dimulakan oleh kerajaan BN yang lalu di mana presiden Filipina telah bersetuju menerima mereka balik," tegasnya.

Lihat Komen
ADS