mk-logo
Berita
Sukar untuk bawa keluarga diraja Saudi beri keterangan soal 'derma', kata Najib

KES SRC NAJIB | Ketika perbicaraan pertuduhan rasuah melibatkan SRC International terhadap Najib Razak hari ini, pendakwaan mengasak bekas perdana menteri itu tentang mengapa peguamnya belum mendapatkan keluarga diraja Arab Saudi untuk menyokong dakwaannya, bahawa wang yang dimasukkan dalam akaunnya adalah derma daripada keluarga itu.

Timbalan pendakwa raya (DPP) V Sithambaram ketika pemeriksaan balas dengan Najib, bertanya mengapa pasukan pembelaan tidak memanggil saksi daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Najib kemudian berkata "sukar" untuk berbuat demikian tetapi menegaskan wang yang diterimanya adalam derma daripada keluarga diraja itu.

Ia selepas Sithambaram mengajukan kepada Najib bahawa naratif derma Saudi itu adalah untuk menutup apa yang sebenarnya berlaku.

Sithambaran: Saya katakan pada anda, sejak dari awal, anda tahu bahawa wang ini bukan datang daripada keluarga diraja (Saudi).

Najib: Saya tak setuju. Kerana sebahagian wang itu datang secara terus daripada Kementerian Kewangan Saudi.

Sithambaram: Malangnya, tiada anggota keluarga diraja akan datang mahkamah untuk sahkannya, benar?

Najib: Kami tidak, well, sukar untuk membuatkan mereka datang ke mahkamah.

Sithambaran: Saya juga kata berguna (convenient) kepada anda untuk tidak panggil mereka ke mahkamah untuk sahkan cerita anda.

Najib: Saya tak setuju.

Sithambaram juga membangkitkan kemampuan Najib dalam mengenal pasti tandatangannya sendiri.

V Sithambaram

Ia selepas Najib mengesahkan dia menandatangani dokumen perbankan yang mengarahkan AS$620 "dikembalikan" kepada keluarga diraja Saudi, walaupun dia sebelum ini berkata ragu-ragu sama ada menurunkan tandatangannya di dokumen tersebut.

Sithambaran: Kerana ia salinan, anda kata tak boleh sahkan tandatangan, dan hari ini anda sahkan.

Najib: Ya. Ia bergantung kepada kandunganya.

Sithambaran: Kandungan apa?

Najib: Kerana saya ingat ini adalah arahan saya.

Najib kini dibicarakan atas tujuh pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International.

Beliau dituduh mendapat habuan sebagai pertukaran dalam membolehkan permohonan pinjaman SRC International terhadap Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) diluluskan.

Beliau juga berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB.

Najib secara umumnya merujuk semua dana yang diterima sebagai "derma" daripada keluarga diraja Saudi dan mendakwa tidak tahu dana itu berasal daripada syarikat milik negara itu.

Perbicaraan untuk pertuduhan berkaitan SRC International hari ini dibuat di depan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Lihat Komen
ADS