Penjara mandotari. Itulah hukuman terhadap kontraktor yang membuang sisa toksik di kawasan yang tidak dibenarkan sekiranya cadangan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk meminda peruntukan undang-undang berhubung perkara itu, diterima tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Azmi Khalid memberi amaran bahawa kerajaan tidak akan bersimpati dengan pihak yang bersalah dan menghantar mereka ke penjara sekiranya mereka didapati bersalah.

Katanya, ada kontraktor yang melupuskan sisa toksik sesuka hati, dan enggan menghantarnya ke kawasan yang dikhususkan kerana tidak mahu membayarnya kosnya.

"Apa yang lebih mengecewakan adalah ada kontraktor yang dibayar oleh pihak kilang untuk melupuskan sisa toksik, mengambil jalan mudah dengan menanamnya, terutama di estet kelapa sawit, selepas bersekongkol dengan pemilik estet," katanya.

Tiada simpati

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan persidangan bertajuk "Alam Sekitar dan Kepelbagaian Bio di Malaysia: Isu dan Agenda dari Perspektif Islam" di Kuala Lumpur.

Menurut lapoaran Bernama, persidangan dua hari itu anjuran bersama kementerian beliau dengan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

"Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan mencadangkan supaya mereka yang membuang sisa toksik secara haram, tidak kira pemilik kilang, pemilik lori atau pemilik estet yang membenarkan kawasannya digunakan untuk menanam sisa toksik, dikenakan hukuman penjara mandatori.

"Tidak ada perbicaraan untuk menetapkan jumlah denda walaupun mereka yang disabit dengan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000. Tidak ada simpati. Sesiapa yang ditangkap membuang sisa toksik secara haram, akan terus dipenjarakan," tambahnya.