mk-logo
Berita
'Wolf of Wall Street sebenar' saman sykt filem Riza Aziz AS$300j
Diterbitkan:  Jan 24, 2020 1:18 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Pengasas bersama firma Stratton Oakmont, Jordan Belfort menyaman syarikat milik Riza Aziz, Red Granite AS$300 juta kerana penipuan dan melanggar kontrak.

Belfort, yang menjadi inspirasi watak di sebalik filem "Wolf of Wall Street", pada tahun 2011 telah menjual hak memoirnya kepada syarikat produksi itu yang diasaskan oleh anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak itu..

Bagaimanapun, Belfort berkata dia tidak akan menjual hak kepada syarikat produksi filem itu jika dia tahu filem itu dibiayai dengan menggunakan wang yang kotor, lapor Hollywood Reporter.

Permohonan yang difailkan pada 23 Jan, menyatakan hak-hak tersebut telah dibeli dan filem itu dibiayai dengan wang tunai daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Belfort berkata disebabkan oleh tindakan undang-undang dan penyelesaian yang diambil terhadap syarikat yang diselubungi skandal itu, serta ahli perniagaan kontroversi Jho Low, Red Granite dikatakan takut untuk mendapatkan hasil daripada hak-hak berkenaan.

Riza Aziz di luar mahkamah.

Ini menyebabkan Belfort memohon hakim persekutuan California untuk membatalkan kontrak mereka.

"Belfort dengan ketara kerugian oleh Red Granite yang mencemari hak terhadap buku atau ceritanya, ditambah pula dengan ketidakmampuan Red Granite dan atau penolakan untuk mengeksploitasi dan memaksimumkan hak-hak yang diperoleh daripada Belfort seperti yang diperlukan oleh kontrak, disebabkan oleh skandal yang dilaporkan secara meluas dan di tengah-tengah tuduhan penglibatan langsung mereka," kata peguam Belfort, Bryan Freedman dalam aduan tersebut.

Peguam itu meneruskan lanjut: "Sekarang selepas mendapat motivasi untuk pemeliharaan sendiri, defendan mesti menjauhkan diri daripada cerita 'The Wolf of Wall Street' oleh Belfort, dan hak-hak lain yang dibeli, kerana takut bahawa penyebaran buku atau kisah itu hanya akan menyemarakkan lagi pertuduhan jenayah terhadap mereka. "

Saman itu kerana penipuan, kecuaian dan lalai, pelanggaran Akta Organisasi Korup dan Dipengaruhi Kegiatan Haram (Rico) Amerika Syarikat, pelanggaran kontrak serta pelanggaran perjanjian niat baik dan urus niaga adil.

"Sekiranya Belfort mengetahui fakta-fakta itu, dia tidak akan setuju untuk menandatangani kontrak itu. Hal ini disebut penipuan dan sekali lagi, Red Granite perlu bertanggungjawab terhadap kegiatan haramnya," kata Freedman.

Peguam Red Granite, Matthew L Schwartz daripada firma Boies Schiller menjawab: "Tuntutan Jordan Belfort tidak lebih daripada percubaan ironis yang terdesak dan hebat untuk keluar daripada perjanjian yang buat kali pertama dalam hidupnya telah menjadikan dia kaya dan terkenal melalui cara yang sah dan tidak haram."

Pada bulan Julai tahun lepas, Riza Aziz dikenakan pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah AS$ 248 juta (RM1.25 bilion), yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.

Belfort ialah bekas broker saham Wall Street pada 1999 mengaku bersalah atas pertuduhan menipu serta jenayah berkaitan manipulasi pasaran saham. Dia memberi kerjasama dengan pihak berkuasa dan pada 2003 dijatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda AS$110 juta.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS