Para penyokong Barisan Nasional (BN) cemas seketika apabila bantahan dibuat terhadap borang pencalonan yang dikemukakan oleh calon BN bagi kawasan Meradong, Wong Zee Yeng dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Bantahan tersebut dibuat oleh calon DAP Ting Tze Hui, 24, kerana Wong mengisi borang pencalonannya dalam bahasa Inggeris dan bukannya dalam bahasa kebangsaan.

Pegawai Pengurus Pilihanraya Wong See Meng terpaksa mendapatkan penjelasan daripada pejabat Suruhanjaya Piliharaya di Kuching berhubung perkara tersebut.

Selepas mendapat penjelasan mengenai, Wong menolak bantahan itu atas alasan bahasa Inggeris diterima sebagai bahasa rasmi.

Sebelum itu, seramai lima calon, termasuk Wong dan Ting, telah mengemukakan borang pencalonan masing-masing bertanding di kawasan Meradong dalam pilihanraya negeri Sarawak yang kesembilan ini.

Bagaimanapun, tumpuannya ialah pertarungan Wong dan Ting kedua-duanya calon wanita. Tiga calon lain, kesemuanya calon Bebas -- Frederick Wong Kung Kuong, David Tiong Chieng Chu, seorang peguam dan Junat Jamek, yang tidak mempunyai pekerjaan.

Sokongan awal

Frederick Wong, yang pertama mengemukakan kertas pencalonan di Dewan Majlis Daerah Meradong, ialah bekas ahli kanan SUPP yang keluar parti itu minggu lalu kerana tidak bersetuju dengan pemilihan calon.

Menurut laporan Bernama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong mempunyai seramai 14,584 pengundi berdaftar.

Calon BN, Wong mendapat sokongan awal kempennya apabila Ketua Wanita MCA Datuk Dr Ng Yen Yen turun Sibu pagi ini untuk memberi sokongan moral kepada calon BN itu.

Tulang belakang kempen Wong sebenarnya ialah pengerusi SUPP Meradong Tan Sri Law Hieng Ding yang juga bekas menteri sains, teknologi dan alam sekitar, dan penyandang kerusi itu, Datuk Ting Check Sii, yang turut mengiringi beliau ke pusat penamaan.

Wong yang berkata beliau tidak terganggu dengan hakikat terpaksa berhadapan empat calon lain, berjanji akan melakukan yang terbaik bagi mengekalkan kerusi itu untuk BN.

"Saya perlu bekerja lebih keras selepas ini untuk mendapatkan undi," katanya.