Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan pertimbang ketatkan undang-undang berkaitan pemandu mabuk

Kementerian Pengangkutan sedia mengkaji dan memperketatkan undang-undang berkaitan kesalahan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk, kata timbalan menterinya, Kamarudin Jaffar.

Katanya langkah itu dilihat perlu dilakukan berikutan kekerapan berlakunya nahas membabitkan pemandu mabuk sejak kebelakangan ini.

"Secara umumnya, kementerian pasti akan memberi lebih perhatian kepada kelakuan pemandu, melibatkan pemandu mabuk alkohol dan dadah.

"... dan kita sedia pertimbangkan untuk mengkaji semula undang-undang membabitkan pemandu ini, dan isu ini telah banyak dibangkitkan (oleh pelbagai pihak)," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa kemalangan di Jalan Kebun pagi semalam, Muhammad Anas Mokti.

Muhammad Anas sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Kelang. Dia mengalami kecederaan parah selepas motosikal Honda EX5, yang dinaiki bersama rakannya, Muhammad Hazid Mohd Kamil, terbabas ke dalam longkang, apabila dirempuh dari arah hadapan oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Kedua-dua mereka berusia 27 tahun.

Turut dirempuh kenderaan sama pada kejadian 7.20 pagi itu, seorang lagi penunggang motosikal Muhammad Zulfakkar Borhan, 29, yang meninggal dunia di tempat kejadian.

Mengulas lanjut mengenai nahas itu, Kamaruddin berkata pihaknya memandang serius kejadian berkenaan dan tindakan sewajarnya akan dikenakan ke atas pemandu tersebut.

"Untuk kes ini, tidak wujud isu pemandu mabuk kerana saringan awal polis menunjukkan kandungan alkohol pemandu itu berada pada tahap terkawal.

"(Namun) Apa yang boleh kita katakan, pemandu ini memandu dalam keadaan berbahaya dan kita akan memastikan bahawa (kes) pelanggaran seperti ini, diberi perhatian serius supaya dapat memberi pengajaran serta amaran kepada semua pengguna, agar lebih berhati-hati dan berdisplin ketika di jalan raya," katanya.

Sementara itu, Kamarudin berkata HTAR turut memberi jaminan akan memberikan rawatan sewajarnya kepada Muhammad Anas yang kini stabil, walaupun patah tulang pinggul dan peha kanan akibat kemalangan tersebut.

Kakak Muhammad Anas, Latifah Mokti, 49, yang ditemui pemberita kemudiannya berkata, beliau terkejut apabila dimaklumkan kejadian yang menimpa adik bongsunya itu.

Katanya Muhammad Anas dan dua lagi mangsa merupakan rakan sekerja dan sentiasa ke tempat kerja - di sebuah kilang dekat Kelang - bersama-sama menaiki motosikal.

"Kawan Anas (Muhammad Anas) menelefon saya kira-kira pukul 8 pagi dan beritahu yang Anas kemalangan. Saya yang ketika itu berada di rumah terkejut mendengar berita tersebut dan bergegas ke HTAR...sepanjang lima tahun Anas membonceng motosikal ditunggang Hazid (Muhammad Hazid) untuk ke kilang (tempat kerja), ini kali pertama mereka kemalangan.

"Bagaimanapun kami sekeluarga bersyukur kerana Anas yang merupakan anak bongsu dari enam beradik ini terselamat," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS