Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengaktifkan semua Pasukan Tindakan Pantas (RRT) dan Pasukan Penilaian Pantas (RAT) Kementerian Kesihatan ekoran kes novel koronavirus (2019-nCoV) di negara ini yang dikesan semalam.

Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad berkata pasukan-pasukan itu ditugaskan untuk menjalankan aktiviti pengesanan kontak (contact tracing activites) dan ditempatkan di fasiliti kementerian di seluruh negara termasuk di hospital dan klinik.

Semua kakitangan perkhidmatan kesihatan juga telah dimaklumkan untuk memberi perhatian serius terhadap pemakaian kelengkapan perlindungan mereka dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan pengawalan jangkitan yang optimum pada setiap masa.

“Saringan pesakit mestilah dilakukan dengan menyeluruh di semua fasiliti kesihatan bagi memastikan kes-kes yang memenuhi kriteria akan dirujuk untuk penyiasatan selanjutnya.

“Kementerian melihat pada insiden penyebaran jangkitan ini dengan serius, dan dengan itu, kami telah menyediakan prosedur (pengendalian) di semua fasiliti perkhidmatan awam mahupun swasta.

“Prosedur ini akan digunakan sebagai rujukan oleh semua kakitangan kesihatan bagi mengesan, mengendalikan dan mengurus individu-individu yang disyaki terkena jangkitan 2019-nCoV,” katanya.

Pagi ini, dalam satu sidang media, Dzukefly mengumumkan bahawa pihak berkuasa kesihatan telah mengesahkan tiga kes positif Novel Koronavirus.

Katanya, ia melibatkan dua kanak-kanak berusia 2 dan 11 tahun, dan seorang perempuan berusia 66 tahun.

Kesemua mereka berasal dari Wuhan dan mempunyai pertalian darah dengan dua lelaki dari China yang disahkan positif dengan virus tersebut oleh Kementerian Kesihatan Singapura, tiga hari lalu.

Ketiga-tiga mereka kini diwadkan dalam wad pengasingan di Hospital Sungai Buloh untuk diberikan rawatan.

KKM juga menerima sejumlah 11 kes disyaki disebabkan virus itu (suspected cases) sejak 22 Januari, melibatkan lapan warganegara Malaysia yang baru-baru ini melawat China, dua warganegara China dari Wuhan, dan seorang warganegara Jordan.

Kesemua sepuluh orang disahkan negatif berdasarkan ujian yang dibuat, sementara yang lain-lain masih dalam menunggu pengesahan.

Kata Dzulkefly, kes yang masih menunggu pengesahan melibatkan seorang warganegara Malaysia yang mempunyai sejarah perjalanan ke China, dan kini diwadkan di Hospital Kuala Lumpur.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS