Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: Pilih nak bawah pemerintahan penggembala lembu atau babi
Diterbitkan:  Jan 26, 2020 11:28 AM
Dikemaskini: Jan 28, 2020 6:19 AM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengingatkan orang Melayu dan umat Islam sama ada mahu menjadi "penggembala lembu" di bawah pemerintahan orang Melayu Islam ataupun "penggembala babi" di bawah pentadbiran pihak lain.

Dengan mengambil contoh kejatuhan kuasa Islam di Sepanyol pada masa lampau, Hadi berkata penting buat umat Islam untuk memahami sistem politik.

Jelasnya, meskipun berada di bawah pemerintahan orang Melayu Islam yang zalim, namun rakyat hanya sekadar "menjadi penggembala lembu" berbanding di bawah pentadbiran pihak lain.

Hadi bagaimanapun tidak menjelaskan "pihak lain" yang dimaksudkannya.

"Kalau kita sabar sesama kita, kalau zalim pun (pemerintahan) hanya jadi penggembala lembu, kalau orang lain memerintah jadi penggembala babi.

"Nak lawan sangat, nak jadi penggembala babi atau penggembala lembu? Mesti faham, ini politik," katanya ketika berucap pada cermah perdana Mufakat Nasional peringkat negeri Perak di Bagan Datuk, malam tadi.

Ceramah perdana itu diadakan sempena Konvensyen Muafakat Nasional peringkat negeri Perak. Hadir sama Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Umno dan PAS membantu kerjasama politik melalui Muafakat Nasional selepas BN tumbang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ia mencatat sejarah buat pertama kalinya dua parti dominan orang Melayu yang berseteru sejak puluhan tahun menamatkan sengketa selepas BN berada di blok pembangkang.

Pada 16 Sept tahun lalu menyaksikan dua parti itu memeterai perjanjian politik dengan menandatangani Piagam Muafakat Nasional.

Muafakat Nasional dijangka akan menggantikan BN bagi menghadapi Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-15 nanti.

Dalam pada itu Hadi berkata, orang Melayu menghadapi PRU-14 dalam keadaan kuasa politik didominasi orang lain meskipun mereka umat majoriti di negara ini.

"Kita adalah umat majoriti, tuan punya negara ini, mengapa boleh jadi begini, kerana mereka bersatu kita berpecah," katanya.

Sementara itu Zahid dalam ucapannya pula menyuarakan kenyakinan bahawa Muafakat Nasional bakal mengambil alih kerajaan negeri Perak pada PRU-15 nanti.

Jelasnya, melalui kerjasama antara Umno dan PAS melalui muafakat itu, beliau yakin 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dikuasai mereka.

Bukan itu saja, Zahid turut memberi gambaran bahawa PAS akan berada dalam kabinet kerajaan Muafakat Nasional selepas PRU-15 bersama rakan komponen yang lain.

"Kita lihat 'trend' yang berlaku sekarang ini pengundi-pengundi bukan Melayu telah kembali kepada kita contoh di Tanjung Piai, contoh di Cameron Highlands.

"Jika ada pilihan raya umum mengejut saya yakin PAS juga akan duduk sebagai anggota jemaah menteri di Putrajaya,"katanya.

Tambah Zahid kerajaan PH memerhati kekuatan Muafakat Nasional yang mempunyai potensi untuk mengambil alih semula Putrajaya.

Lihat Komen
ADS