Semua pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang lemah dalam bahasa Inggeris diwajibkan mengikuti kelas tambahan bagi menguasai bahasa berkenaan itu mulai sesi akademik 2006/2007.

Langkah tersebut bertujuan membolehkan semua pelajar dalam pelbagai kursus di IPTA, menguasai kebolehan komunikasi dan kemahiran bahasa Inggeris sebagai nilai tambah apabila memasuki pasaran kerja, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed.

Katanya, Naib Canselor IPTA akan memastikan pelajar yang lemah untuk mengikuti kelas tersebut yang dicadangkan diadakan pada setiap semester, sekurang-kurangnya dua jam seminggu.

"Bukan semua perlu mengikuti kelas tambahan tersebut, mungkin dua pertiga atau separuh sahaja, sesetengah yang OK dalam bahasa Inggeris tak perlulah," katanya selepas menyampaikan surat tawaran biasiswa Program Latihan Akademik IPTA kepada 25 penerima yang layak semalam.

Menurut laporan Bernama , mulai sesi Julai ini juga, semua IPTA dikehendaki memperkenalkan kaedah pengajian yang menekankan kepada kemahiran komunikasi di kalangan pelajar dalam membuat pembentangan dan berdebat bagi membolehkan mereka berfikir secara kritis.

"Sekarang ini, jika mereka di tahun satu, banyak monolog, pensyarah bercakap, pelajar dengar dan ambil nota. Kita nak galakkan budaya berbicara, berdebat, berbahas dan membuat pembentangan.

Pensyarah PhD

"Jadi, kita rasa dengan memaksa mereka pada setiap kursus, tidak terbatas pada kursus tertentu, jika seseorang pelajar itu melakukan beberapa kali pembentangan dalam setahun, ia boleh menimba keyakinan mereka dan mengasah bakat berkomunikasi," katanya.

Sementara itu, Mustapa berkata, RM1.2 bilion diperuntukkan untuk latihan kakitangan akademik di peringkat pengajian tinggi yang diunjurkan mampu melahirkan 6,700 pensyarah berkelayakan PhD dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Kita harap dapat menghantar 6,700 orang pensyarah kesemuanya di dalam tempoh RMK-9, iaitu peningkatan dua kali ganda berbanding tahun 2001-2005.

"Dengan peruntukan yang lebih besar, kita berharap menjelang 2010, dapat mencapai tahap 60 peratus pensyarah mempunyai PhD. Ini adalah penting dalam usaha kita untuk meningkatkan kecemerlangan universiti kita agar dapat mencapai taraf dunia," katanya.

Di segi pelaksanaannya, kata beliau, biasiswa ini diagihkan kepada tiga kaedah pengajian luar negara (50 peratus) kerana pengalaman di luar negara adalah penting, dalam negara (35 peratus) dan secara "split" iaitu dua tahun di dalam negara dan satu atau dua tahun lagi di luar negara (15 peratus).

Mustapa berkata, 25 penerima biasiswa itu semalam adalah kumpulan pertama di bawah RMK9 dan ia akan diberikan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun dengan anggaran 1,000 orang setahun.