Isteri pemimpin Keadilan Dr Badrul Amin Bahron mengakui kemungkinan khabar angin "kematian" suaminya di kem tahanan politik di Kamunting sengaja diada-adakan pihak tertentu.

"Saya tidak nafikan mungkin ada orang yang sengaja mengada-adakan berita tersebut untuk tujuan-tujuan tertentu," kata Zumrah Husni dalam sidang akhbar di kediaman presiden Keadilan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pagi tadi.

Badrul ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di kem itu bersama naib presiden Keadilan Tian Chua, ketua pemuda parti Mohamad Ezam Mohd Nor, ahli jawatankuasa pusat parti Saari Sungib, kolumnis malaysiakini Hishamuddin Rais dan aktivis reformasi Lokman Noor Adam sejak awal bulan Jun kerana disyaki terlibat dalam percubaan mengulingkan kerajaan secara militan.

Turut hadir di sidang akhbar itu adalah Wan Azizah, isteri Saari, Aliza Jaffar, serta wakil keluarga lima tahanan yang lain.

Sejak beberapa hari lalu, khabar angin "kematian" Badrul telah tersebar luas dan menimbulkan kegemparan di kalangan ahli parti dan penyokong reformasi.

Zumrah ketika ditemui selepas sidang akhbar itu berkata khabar angin tersebut menyebabkan ada pihak yang menelefon beliau memberitahu mahu mengadakan kenduri tahlil dan membuat demonstrasi.

Menurutnya, beliau telah turut menerima panggilan ucapan takziah daripada mereka yang berada di Brunei dan Singapura.

Semalam malaysiakini melaporkan berita "kematian" itu palsu dan Ketua Komandan kem Kamunting Mohd Zawawi Abdul Rahim yang dihubungi turut mengesahkan Badrul berada dalam keadaan sihat

Anwar tidak berubah

Sementara itu dalam perkembangan yang lain, Wan Azizah berkata keadaan kesihatan bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim "masih tidak berubah".

"Anwar masih memerlukan kerusi roda dan berasa sakit apabila beliau beralih tempat atau bergerak," katanya kepada malaysiakini .

Pertengahan Julan lepas, Anwar dilaporkan perlu mengunakan kerusi roda, bengkak di tangan dan kaki kesan daripada ubat anti radang yang diambil beliau.

Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara 15 tahun di Penjara Sungai Buloh telah menolak menjalani pembedahan tulang belakang di dalam negara. Permohonan beliau untuk mendapat rawatan dan pembedahan itu di Alpha Klinik, Munich, Jerman bagaimanapun ditolak kerajaan.