Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

GLOBAL | Kementerian Kesihatan Singapura hari ini mengesahkan kes import kelima jangkitan novel koronavirus di negara itu.

Dalam kenyataan terkini, kementerian berkenaan berkata kes terbaru itu melibatkan seorang wanita warga China berumur 56 tahun dari Wuhan, yang tiba di Singapura bersama keluarganya pada 18 Jan.

Katanya, wanita terbabit sedang dirawat di bilik pengasingan di Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID) dan keadaannya stabil.

Menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan laporan wanita berkenaan tidak menunjukkan sebarang simptom semasa dalam penerbangan ke Singapura.

Dia hanya menunjukkan simptom pada 24 Jan, dan dibawa oleh ambulans ke Hospital Tan Tock Seng dua hari kemudian.

Kementerian Kesihatan Singapura berkata wanita itu kemudiannya diklasifikasikan sebagai kes suspek dan terus diasingkan di NCID. Keputusan ujian berikutnya mengesahkan dia dijangkiti koronavirus Wuhan pada 27 Jan.

Kementerian itu berkata wanita berkenaan didapati tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan lain-lain kes jangkitan import yang disahkan sebelum ini.

Sebelum dimasukkan ke hospital, kementerian itu berkata wanita berkenaan tinggal bersama dengan keluarganya di Ceylon Road.

Pantau dengan rapi

Sejak menunjukkan simptom pada 24 Jan, wanita itu dikatakan tinggal di dalam rumahnya saja sehingga dia dibawa ke hospital dua hari kemudian.

Kementerian itu berkata pihaknya telah memulakan penyiasatan epidemiologi dan sedang berusaha mengesan individu yang mempunyai kontak dengan wanita berkenaan.

Sehingga jam 12 tengah semalam sebanyak 62 kes suspek disahkan negatif bagi koronavirus Wuhan, berbanding empat positif, manakala kes kelima disahkan pada kira-kira pukul jam 2 petang.

Keputusan ujian bagi 57 kes lagi masih belum diperoleh.

Pengesanan kontak bagi kes-kes yang disahkan sedang berlangsung dan sebaik saja dikenal pasti, Kementerian Kesihatan Singapura akan memantau dangan rapi semua pihak yang mempunyai kontak dengan mereka.

Kementerian itu turut mengenal pasti 115 kontak yang mempunyai hubungan rapat dengan empat kes yang telah disahkan sebelum ini.

Daripada 86 orang yang masih berada di Singapura, 75 telah dihubungi dan dikuarantin atau diasingkan, manakala usaha menghubungi 11 kontak lagi masih berjalan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS