Terjemahan Badan pemantau bebas pilihanraya telah menemui banyak lagi kecacatan dalam senarai pengundi bagi pilihanraya negeri Sarawa, kata wakil Pemantau Pilihanraya Bebas dan Adil (Mafrel) bahagian Miri, Mark Bujang hari ini.

Menurutnya, Mafrel mendapati hanya terdapat dua penghuni di satu alamat di Miri di mana 27 orang telah didaftarkan sebagai pengundi.

Mereka juga tidak mengenali nama-nama dalam senarai tersebut yang menggunakan alamat mereka, kata Bujang.

Tambahan pula, katanya, terdapat sekurang-kurangnya enam alamat lagi yang mana rumah asalnya tidak wujud lagi di situ.

"Sebaliknya, rumah kedai dibina di tapak (rumah berkenaan) dan orang di situ juga tidak mengenali nama-nama pengundi yang didaftar dalam senarai tersebut," tambahnya.

Selain itu, Mafrel juga terperanjat kerana terdapat alamat-alamat yang mustahil untuk dikesan dalam kawasan berkenaan seperti Krokop (10 kes) and Kuala Baram (4 kes).

"Ini tidak termasuk hakikat bahawa 42 peratus pengundi yang layak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau, Senadin dan Pujut tidak mempunyai alamat," kata Bujang.

Kekuatan politik

Berdasarkan kepada penemuan tersebut, beliau berkata, adalah jelas Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak mengemaskinikan secukupnya senarai pengundi di kawasan berkenaan.

"Ini menunjukkan masih terdapat banyak lagi harus dilakukan oleh SPR bagi memastikan pilihanraya yang adil dan bebas. Apakah terdapat kekuatan politik untuk membuat perubahan ini?" soalnya.

Mafrel kini bekerjasama dengan dua badan bukan kerajaan (NGO) tempatan Borneo Resources Institute (Brimas) dan Jemaah Islam Malaysia Sarawak untuk memantau pilihanraya negeri Sarawak kali ini.

Proses pemantauan tersebut mengandungi tiga peringkat pengesahan senarai pengundi, pemantauan kempen dan hari pengundian.

Lapan DUN di wilayah utara Sarawak telah dikenal pasti untuk pemantauan tersebut, iaitu Piasau, Pujut, Senadin, Bekenu, Lambir, Kidurong, Belaga and Marudi.

Mafrel telah mendapatkan perkhidmatan 30 sukarelawan tempatan untuk memantau DUN berkenaan, terutama sepanjang tempoh berkempen dan hari pengundian pada 20 Mei. Berita asal