BERITA

'Zuraida kekal tenang, bekerja macam biasa'

Alyaa Alhadjri

Diterbitkan

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, akan kekal tenang walaupun diberikan surat tunjuk sebab - yang sudah dijawab hari ini - dan meneruskan tugasnya seperti biasa, kata pegawai kanannya.

Menurut Noor Hizwan Ahmad, ahli parlimen Ampang itu akan tetap memberikan khidmatnya sama ada sebagai wakil rakyat mahupun naib presiden PKR.

"Terpulang kepada penilaian dan tindakan seterusnya oleh lembaga disiplin," katanya kepada media selepas menyerahkan surat jawaban di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.

Terdahulu Noor Hizwan ditanya mengenai tindakan lanjut yang akan diambil Zuraida selepas menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Lembaga Disiplin PKR pada 15 Jan lalu.

Noor Hizwan yang juga setiausaha politik Zuraida menyerahkan surat tersebut genap 14 hari selepas ia dikeluarkan. Ia diterima seorang daripada pegawai badan tersebut.

Mengikut peraturan seseorang ahli PKR yang diberikan surat tunjuk sebab boleh memberi penjelasan dalam tempoh 14 hari.

Perkembangan itu berlaku ketika sesetengah anggota parti mendesak agar Zuraida - yang menjadi salah seorang penyokong tegar Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali - dipecat.

Ambil tanggungjawab menjawab

Antara lain Zuraida didakwa melanggar disiplin apabila mengkritik kepemimpinan parti secara terbuka.

Noor Hizwan berkata tiba di ibu pejabat parti terbabit kira-kira jam 12.45 tengah hari bersama kira-kira 100 penyokong. Mereka kemudian 'disambut' kumpulan bertentangan yang menggesa PKR memecat Zuraida.

Beberapa anggota polis kelihatan berkawal di kawasan sekitar dan menjarakkan kedua-dua kumpulan.

Noor Hizwan (tengah) tiba untuk menyerahkan surat penjelasan bagi pihak Zuraida.

Menurut Noor Hizwan surat tunjuk sebab itu mengandungi tiga persoalan utama yang dijawab semuanya oleh Zuraida, termasuk berkaitan kenyataan kontroversi dibuat semasa majlis makan malam disertai Azmin pada 8 Dis tahun lalu.

Kata Noor Hizwan, Zuraida menghadiri mesyuarat kabinet di Putrajaya, justeru tidak dapat menyerahkan sendiri jawaban berkenaan.

"Boleh saya katakan bahawa beliau menjawab dengan tenang seperti kami yang sentiasa kekal tenang, kerana semua yang dikatakan dalam ucapan beliau di mana-mana sahaja - termasuk di Hotel Renaissance itu - adalah benar.

"Beliau hanya berkata benar dan apabila diminta memberikan penjelasan, sebagai naib presiden yang dipilih anggota seluruh negara, beliau mengambil tanggungjawab tersebut untuk menjawab surat dari lembaga disiplin," katanya.

Semasa menyerahkan jawaban tersebut, kata Noor Hizwan, beliau menyatakan bahawa tuduhan yang dikenakan ke atas Zuraida dianggap cacat kerana notis yang dikeluarkan merujuk ucapan dalam bentuk transkrip.

Maknanya benda bertulis atau bercetak, tapi kami tak terima.

"Bagaimanapun kerana menghormati lembaga disiplin, kami masih menjawab persoalan itu walaupun kami ada sedikit keraguan tentang transkrip yang disebut dalam dakwaan itu," katanya.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.