Terjemahan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman hari ini membidas sebuah badan pemantau bebas pilihanraya kerana mendakwa ada kecacatan dalam senarai pengundi bagi pilihanraya negeri Sarawak, termasuk adanya nama pengundi yang sudah meninggal dunia.

Katanya, 'kenyataan tidak berasas' oleh Badan Pemantau Pilihanraya Bebas dan Adil Malaysia (Mafrel) itu tidak memberi sebarang kebaikan kepada negara.

Katanya, ini amat mengecewakan kerana Mafrel telah membuat penilaiannya dan kesimpulannya sendiri tanpa rujukan asas kepada undang-undang dan peraturan sedia ada atau merujuk kepada keadaan yang berkaitan dengan "subjek yang mereka tidak arif atau tidak tahu langsung".

Bercakap dalam sidang akhbar di Kuching pagi ini, Abdul Rashid yang kelihatan tidak senang dengan dakwaan Mafrel itu, menegaskan sekali lagi bahawa senarai pengundi yang disediakan oleh suruhanjaya itu adalah bersih dan bebas daripada sebarang kecacatan.

Abdul Rashid merujuk kepada Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan berhubung kelayakan pengundi yang menetapkan bahawa seseorang rakyat Malaysia layak menjadi pengundi apabila:

(i) Dia mencapai umur 21 tahun pada tarikh kelayakan:

(ii) Dia tinggal di kawasan pilihanraya pada tarikh kelayakan, atau jika bukan penduduk, adalah pengundi tidak hadir, dan

(iii) Dia, mengikut peruntukan dalam undang-undang berkaitan pilihanraya, telah mendaftar dalam senarai sebagai pengundi di kawasan pilihanraya di tempat dia tinggal pada tarikh kelayakan tersebut.

Undang-undang itu juga menyebut bahawa tidak seorang pun yang dibenarkan mengundi di lebih daripada satu kawasan pilihanraya dan juga tidak layak bagi mereka yang melanggar undang-undang pilihanraya.

Di luar bidangkuasa SPR

Abdul Rashid berkata, undang-undang pilihanraya dan khususnya yang berkaitan dengan pendaftaran pengundi dan penyediaan senarai nama pengundi, telah diperundangkan untuk mematuhi peruntukan-peruntukan yang relevan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, meminda undang-undang yang memintas peruntukan asas dalam Perlembagaan akan mengakibatkan undang-undang ini terbatal dan tidak sah, kecuali peruntukan berkenaan turut dipinda.

Bagaimanapun, Abdul Rashid berkata, ianya adalah di luar bidangkuasa SPR.

Di bawah undang-undang sedia ada, katanya, seseorang mungkin memohon didaftarkan sebagai pengundi di kawasan pilihanraya tertentu, kerana mendakwa tinggal di situ, dan dia adalah satu-satu yang boleh mengubah pendaftaran tersebut apabila berpindah ke tempat lain.

Pengerusi SPR itu berkata, SPR tidak diberi kuasa, dan sepatutnya begitu, di bawah undang-undang untuk mengubah pendaftaran orang berkenaan dalam kawasan pilihanraya tersebut dan memindahkannya ke kawasan lain.

Katanya, percubaan untuk berbuat demikian bermakna, SPR telah mencampuri atau campurtangan dalam hak dan keistimewaan pengundi berkenaan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan untuk mendaftar sebagai seorang pengundi dalam kawasan pilihanraya berkenaan pada hari dia layak berbuat demikian.

Mengenai soalan tentang alamat kediaman yang digunakan oleh pengundi untuk mendaftar, Abdul Rashid berkata, ianya adalah perkara yang berkaitan dengan keperluan prosedur.

Beliau menjelaskan, ia hanya sebagai panduan bagi memboleh SPR menempatkan pengundi yang layak dalam lokaliti dan kawasan pengundian tertentu bagi menentukan di mana tempat dia akan mengundi.

Kawasan pedalaman

Di Sarawak, katanya, sepertimana di beberapa negeri lain, kira-kira 80 peratus kawasan pilihanraya terletak di luar bandar dan daerah pedalaman, di mana pengundi tinggal di merata tempat dalam perkampungan berkenaan.

Menurut Abdul Rashid lagi, dalam senario di Sarawak, tidak ada sistem alamat yang sempurna di kawasan bandar dan di pinggir bandar, kecuali di taman perumahan dan kawasan kediaman di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan.

Katanya, sebelum bulan Julai 2002, undang-undang bagi pendaftaran pengundi adalah liberal berhubung pemilihan kawasan pilihanraya bagi setiap pengundi, tetapi selepas itu, pindaan dibuat yang mensyaratkan seseorang itu didaftar mengikut alamat dalam kad pengenalannya.

"Malah syarat (baru) inipun memberi masalah," katanya, sambil menambah, mereka yang tinggal di luar bandar mungkin tidak mempunyai alamat yang sempurna di kad pengenalan mereka.

"Semua ini adalah masalah yang dihadapi oleh SPR sejak beberapa tahun yang lalu dan belum ada jalan penyelesaian yang ditemui kerana pilihan untuk menukar alamat pada kad pengenalan terpulang kepada setiap individu, yang merupakan kebebasan yang kita nikmati di bawah sistem demokrasi," tegasnya.

Pengerusi SPR itu juga berkata, jumlah pengundi dalam senarai pemilih bagi seluruh negara sebelum Julai 2002 ialah kira-kira 9.5 juta, yang mana 3.8 juta tidak tinggal di alamat yang tertera di kad pengenalan mereka.

Di Sarawak, katanya, dipercayai sekurang-kurangnya 30 peratus daripada 892,537 pengundinya tidak lagi dapat dikesan dalam kawasan pilihanraya tempat mereka mendaftar.

"Namun begitu, pada hari pengundian, sesetengah daripada mereka muncul untuk membuang undi," tambahnya.

Pengundi tulen

Berikutan itu, Abdul Rashid berkata, Mafrel tidak perlu membazirkan masa dan tenaganya untuk mengesan dan mengenalpasti pengundi yang mendaftar secara beramai-ramai di satu alamat.

Katanya, semua pengundi adalah warganegara yang tulen, layak dan mempuyai hak untuk mendaftar sebagai pengundi.

Menurutnya, keadaan persekitaran tidak membolehkan mereka memberi alamat yang sempurna dalam kawasan pilihanraya kerana mereka tidak mempunyai alamat kediaman sendiri, kecuali yang tinggal beramai-ramai di rumah panjang yang boleh dikenalpasti oleh pemimpin masyarat mereka.

"Sepatutnya Mafrel memberi perhatian sama ada mereka ini rakyat Malaysia dan layak mengundi di bawah undang-undang," katanya.

Menurutnya, SPR amat mengambil berat mengenai perkara tersebut dan telah membuat pemeriksaan rapi.

Abdul Rashid berkata, SPR memberi jaminan bahawa tidak ada rakyat asing yang mendaftar sebagai pengundi dan penempatan para pengundi dalam kawasan pilihanraya tidak mempunyai sebarang unsur-unsur penipuan seperti membawa masuk pengundi dari kawasan lain.

Pengundi meninggal dunia

Mengenai pengundi yang meninggal dunia, Abdul Rashid berkata Mafrel tidak boleh mengambil alih tugas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurutnya, SPR bergantung sepenuhnya kepada JPN untuk mendapatkan maklumat mengenai pengundi yang sudah meninggal dunia untuk menyemak dan mengemaskini senarai pemilih.

"Terdapat ribuan (pengundi) yang meninggal dunia tetapi tidak dilaporkan kepada JPN," tambahnya.

Katanya, SPR juga mengambil berat sepertimana pihak-pihak lain apabila ada nama pengundi yang sudah meninggal masih ada dalam senarai pengundi.

Pada 2005, katanya, SPR telah menggugurkan 13,504 nama pengundi dari kira-kira 2,454 rumah panjang di daerah pedalaman kerana disahkan telah meninggal dunia.

Katanya, SPR belum lagi melawat 287 rumah panjang lagi untuk mengesahkan senarai pengundi.

Abdul Rashid berkata, Mafrel boleh membantu mengumpulkan maklumat mengenai pengundi yang sudah meninggal dunia dalam semua kawasan pilihanraya dan menyerahkannya kepada JPN untuk pengesahan.

Katanya, SPR bersedia membincangkan untuk melantik Mafrel sebagai ejennya untuk mengesan jumlah pengundi yang meninggal dunia tetapi tidak dilaporkan, dan nama mereka masih ada dalam senarai pengundi.

Dalam nada sindiran, Abdul Rashid berkata: "Sebagai sebuah badan perniagaan, Mafrel mungkin merupakan badan yang paling sesuai untuk melakukan tugas tersebut, apatah lagi mereka telahpun melakukannya secara sukarela, walaupun mereka mungkin mempunyai motif dan agenda tersembunyi."

Menurut pengerusi SPR itu lagi, sewaktu pilihanraya kecil Pengkalan Pasir di Kelantan tahun lalu, sebuah parti politik tetapi beliau tidak menyebut namanya telah mengemukakan senarai yang mengandungi 93 nama pengundi 'yang sudah meninggal dunia'.

Katanya, apabila SPR menyemak 10 daripada nama tersebut, ia mendapati sembilan daripada mereka masih lagi hidup.

Pilihanraya Sarawak akan diadakan pada 20 Mei depan. Berita asal

Peta kawasan pilihanraya di Sarawak