MP Jasin mohon maaf kepada Perdana Menteri
Ahli Parlimen Jasin Datuk Mohd Said Yusof yang dikatakan meminta kastam "menutup sebelah mata" dalam satu kes melibatkan kemasukan kayu bergergaji dari Indonesia, berkata beliau telah memohon maaf kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Ahli Parlimen Jasin Datuk Mohd Said Yusof yang dikatakan meminta kastam "menutup sebelah mata" dalam satu kes melibatkan kemasukan kayu bergergaji dari Indonesia, berkata beliau telah memohon maaf kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Katanya, beliau menemui Perdana Menteri selepas majlis taklimat khas kepada pemimpin Umno Bahagian di Ibu pejabat parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
"Saya berjumpa dengannya, berjabat tangan dengan beliau dan beritahu kepada beliau kalau saya salah saya minta maaf," katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Mohd Said bagaimanapun enggan mengulas reaksi Perdana Menteri selepas beliau berbuat demikian.
Kontroversi itu timbul ekoran laporan sebuah akhbar minggu lalu bahawa seorang ahli Parlimen cuba campur tangan dengan urusan Kastam Melaka yang merampas kemasukan kayu bergergaji melebihi spesifikasi yang dibenarkan.
Menurut laporan Bernama, Mohd Said kemudian mengakui beliau adalah MP yang dimaksudkan.
Agensi perkapalan
Mohd Said juga mengaku beliau mempunyai kepentingan di kedua-dua pelabuhan tukar barang di Sungai Rambai dan Kuala Linggi, Melaka di mana syarikat agensi perkapalan dan pengangkutan, Bin Yusuf Enterprise, beroperasi.
Ditanya sama ada kayu bergergaji yang dirampas itu milik syarikat beliau, Mohamad Said berkata syarikatnya hanya mengendalikan urusan sebagai ejen di pelabuhan itu dan bukan peniaga kayu.
Menjelaskan kenapa beliau campur tangan, beliau berkata sejak Januari lalu pihak Kastam mula mengetatkan kemasukan kayu dengan mengenakan kompaun terhadap mereka yang melanggar peraturan 60 inci persegi yang ditetapkan.
Pada bulan Mac, selain kompaun, Kastam juga menyita dan melelong kayu itu, sekaligus merugikan peniaga kayu berkenaan, katanya.
"Jika perkara ini berlarutan, tiada pedagang Barter Trade Indonesia akan datang lagi ke Malaysia kerana mereka akan berpindah ke Singapura yang tidak pernah menolak kayu yang dibawa dari sana," katanya.
Menjelaskan pertemuannya dengan Pengarah dan Penolong Pengarah (Pencegahan) Kastam Diraja Malaysia di Ayer Keroh pada 14 April lalu, Mohd Said berkata ia dibuat selepas diminta oleh pengusaha jeti, peniaga kayu dan ejen di kedua-dua pelabuhan itu yang terletak di kawasan Parlimen beliau.
Mohd Said: Saya merayu
"Saya merayu kepada pengarah dan penolong pengarah berkenaan supaya hanya mengkompaun dan tidak menyita kayu itu untuk dilelong," katanya.
Beliau mendakwa perniagaan pengusaha jeti dan peniaga kayu juga merosot 70 peratus sejak Kastam menyita kayu-kayu berkenaan.
"Kadang-kadang ada kayu yang terlebih dan terkurang 60 inci, jika ada kayu sebegitu saya minta mereka `pejam mata' dengan mengambil kira kadang-kadang kayu itu terlebih besar kerana masalah ketika memotongnya," katanya.
Mohamad Said menafikan beliau bekerjasama dengan penyeludup kayu-kayan.
"Kalau saya bawa kayu-kayu ini ke Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) adakah ini dikatakan penyeludup? Penyeludup ialah lari daripada Kastam tetapi saya tunjuk kepada Kastam," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.