DAP mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof bagi membuktikan integriti kerajaan Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, jika tiada tindakan diambil, Abdullah tidak perlu lagi bercakap mengenai pembasmian rasuah dan kerajaan yang bersih selepas ini.

Katanya, sudah tiba masanya untuk kerajaan membuktikan slogan Bersih, Cekap dan Amanah (BCA) yang dilaung-laungkan satu waktu dahulu.

Lim mendakwa, Mohd Said telah melakukan dua kesalahan pertama berbohong dan kedua menyalahgunakan kuasa sebagai ahli Parlimen untuk kepentingan peribadi.

"Mohd Said boleh didakwa di bawah Akta Rasuah 1997 kerana cuba mempengaruhi Kastam dan Eksais Diraja Malaysia (KDRM) supaya tidak mengambil tindakan ke atas syarikat miliknya," katanya.

Media melaporkan syarikat Binyu Sof Enterprise - yang terbabit dengan penghantaran kayu balak bergergaji yang beroperasi di Melaka adalah milik Mohd Said

Lim berkata, pada masa sama KDRM perlu membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk membolehkan badan itu menyiasat Mohd Said.

Laporan BPR

"Saya tidak faham mengapa Kastam sehingga hari ini masih belum membuat laporan kepada BPR mengenai gangguan Mohd Said itu," katanya lagi.

Menurut beliau, walaupun ahli Parlimen dibenarkan berniaga tetapi mendakwa Mohd Said telah melanggar undang-undang apabila meminta Kastam jangan menyita kayu balak bergergaji yang mempunyai kaitan dengan syarikat penghantaran miliknya.

Lim berkata, tidak salah jika Mohd Said menolong syarikat orang lain bagi memenuhi tanggungjawabnya sebagai ahli Parlimen tetapi mendakwa ia menjadi salah apabila syarikat tersebut miliknya sendiri.

Ini, katanya, bermakna Mohd Said menggunakan kedudukannya untuk kepentingan peribadi.

Menurutnya, kalau Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Datuk Shahrir Abdul Samad boleh meletakkan jawatan kerana isu itu, maka tidak ada sebab Mohd Said tidak boleh berbuat demikian.

Katanya, kalau Shahrir tidak meletak jawatan, Abdullah dengan tegas mahu mengambil tindakan ke atas Ahli Parlimen Johor Bharu itu.

"Sekarang rakyat mahu tindakan yang serupa dikenakan ke atas Mohd Said kerana beliau telah melakukan kesalahan yang lebih berat dari Shahrir," katanya.