Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada 'happy ending' selagi anak tak bersama saya, kata Indira

M Indira Gandhi menggesa Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador agar menyatukannya kembali dengan anak perempuannya yang kini berada bersama bekas suaminya.

Ia susulan kenyataan Abdul Hamid sebelum ini bahawa beliau mengetahui lokasi bekas suaminya itu, Muhammad Ridhuan Abdullah.

Indira membangkitkan perpisahan dengan anaknya, Prasana Diksa yang berusia 12 tahun, yang telah berlanjutan lebih sedekad dan mahu ia berakhir.

"Pendedahan (Hamid) amat mengecewakan saya. Walaupun beliau tahu di mana Prasana, sehingga sekarang Prasana tiada dengan saya.

"Saya tidak tahu mengapa (penyatuan mereka) ditangguh dan ini mengecewakan saya (tearing me apart)," katanya dalam sidang media hari ini yang ditemani Pengerusi Indira Gandhi Action Team (Ingat) Arun Dorasamy.

Pada 2014, Mahkamah Tinggi Ipoh mengeluarkan perintah mandamus agar polis mendapatkan Prasana daripada Riduan.

Perintah mandamus adalah perintah dikeluarkan mahkamah kepada pegawai kerajaan untuk memenuhi tugas rasmi mereka.

Dua tahun kemudian, Mahkamah Persekutuan mengarahkan ketua polis negara agar menangkap Riduan.

Semalam, Hamid berkata beliau tahu lokasi Riduan dan menggesanya agar berhenti bersembunyi agar "pengakhiran bahagia" (happy ending) dapat dicapai untuk semua pihak terlibat.

Berbanding membuat gesaan itu, Indira menggesa Hamid mempercepat pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan.

Indria turut mempersoal polis yang menurutnya gagal memaklumkan perkembangan terbaru berkenaan Riduan dan Prasana kepadanya.

"Kami tak mahu sebarang keadaan menang-menang, saya tak tahu apa maksudnya dengan 'happy ending'. Tanpa Prasana kembali bersama saya, bagi saya tiada 'happy ending'.

"Mereka tidak menghubungi saya...dan kini IGP kata dia tahu di mana Prasana. Jadi saya benar-benar tak faham, kalau mereka tahu mengapa mereka tidak laksanakan saja arahan mahkamah?" soalnya.

Susulan kenyataan Hamid itu, Indira berkata beliau akan mempercepatkan langkah memfailkan saman sivil bernilai RM100 juta terhadap Hamid, polis, pasukan petugas khas polis dan kerajaan, kepada minggu depan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS