Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mahkamah benarkan Najib, keluarga periksa barang dirampas polis

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan bekas perdana menteri Najib Razak dan keluarganya untuk memeriksa barangan yang disita polis, kerana didakwa berkaitan dengan 1MDB.

"Saya berpendapat pemohon perlu diberi peluang untuk memeriksa barang-barang tersebut.

"(Kebimbangan pihak pendakwa mengenai keselamatan) boleh diatasi dengan mudah dengan memastikan pemeriksaan dilakukan di premis yang dikawal mereka, dengan keselamatan yang mencukupi.

"Saya tidak dapat memahami bagaimana pengalihan barang-barang ini boleh mengakibatkan kemerosotan nilainya.

"Oleh itu saya memerintahkan responden membenarkan pemohon memeriksa secara fizikal barang-barang tersebut," kata Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Bagaimanapun, Zaini meletakkan beberapa syarat tambahan untuk pemeriksaan dilakukan.

Pertama, beliau berkata pemeriksaan mesti dijalankan di premis yang ditetapkan pihak pendakwaan.

Kedua, hanya pemohon dibenarkan memeriksa barang tersebut dengan pemantauan pegawai pendakwa.

Zaini kemudian mengubah syarat kedua, dengan menyertakan seorang peguam untuk kedua-dua pihak, tetapi tidak dibenarkan menyentuh barang tersebut.

Ia selepas peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah membuat cadangan itu yang tidak dibantah pendakwaan.

Ketiga, pemeriksaan hanya dibuat sekali dan akan dilakukan dalam masa dua minggu ini, dan yang terakhir, pemohon boleh memfailkan afidavit paling lewat 2 Mac 2020, selepas melakukan pemeriksaan.

Sebelum ini, Muhammad Shafee berkata Najib dan keluarganya perlu memeriksa barang yang dirampas polis untuk mengenal pasti sama ada ia diterima sebagai hadiah atau dibeli sendiri.

Pendakwaan pula berkata barang tersebut disimpan di peti rahsia di Bank Negara Malaysia, dan hanya boleh diakses oleh pegawai tertentu.

Justeru, pendakwaan berkata pemeriksaan tidak boleh dibuat demi menjamin keselamatan tempat simpanan itu. Walaupun pemeriksaan dibuat di tempat lain, pemindahan lokasi mungkin menyusutkan nilai barang yang dirampas, kata mereka lagi.

Najib memfailkan permohonan untuk membuat pemeriksaan pada 18 Julai 2019.

Beliau memohon untuk mendapatkan gambar berwarna abarang yang dirampas pada 17 Mei 2018, serta penerangan terperinci barang tersebut.

Isteri Najib, Rosmah Mansor dan anak mereka, Nooryana Najwa turut memfailkan permohonan untuk kebenaran memeriksa barang-barang itu secara fizikal.

Antara barangan yang dirampas ialah 315 beg tangan, 14 utas jam tangan dan 27 pasang kasut pelbagai jenama.

Selain itu, turut dirampas ialah wang tunai dalam pelbagai mata wang, termasuk RM537,000, £2,700, 2,870,000 Sri Lanka rupee, RM187,750 nota lama and £320,500.

Lihat Komen
ADS