Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tarikh dengar bekas pegawai AmBank batal saman Najib 15 April

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 15 April depan untuk pendengaran permohonan bekas pegawai perhubungan AmBank Joanna Yu yang cuba membatalkan saman Najib Razak terhadapnya dan bank itu atas dakwaan melanggar kewajipan.

Sekiranya, permohonan Yu membatalkan saman bekas perdana menteri itu gagal, perbicaraan saman utama Najib akan berlangsung selama empat hari bermula 14 Disember.

Ini disahkan oleh peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang berada di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta, pagi tadi.

Pengurusan kes permohonan Yu diadakan di depan hakim Khadijah Idris dan turut dihadiri peguam mewakili Yu, Gurdial Singh Nijar manakala Samuel Tan bertindak bagi pihak AmBank dan AmIslamik.

"Pendengaran untuk membatalkan (permohonan oleh Yu) adalah pada 15 April tahun ini," kata Farhan, sambil menambah bahawa sekiranya mahkamah menolak permohonan itu, maka saman utama Najib akan didengar dari 14 hingga 17 Dis tahun ini.

"Hakim (Khadijah) juga mengarahkan agar defendan pertama dan kedua (AmBank Holdings Bhd dan AmBank Islamic Bank Bhd) supaya memfailkan permohonan (untuk mengketepikan saman Najib), sebelum pada 2 Mac jika ada," kata Farhan.

Berhubung sama ada Yu telah memfailkan pernyataan pembelaan terhadap saman Najib, Farhan berkata dia belum berbuat demikian kerana diberikan lanjutan oleh mahkamah untuk memfailkannya.

Sementara itu, Gurdial berkata mahkamah membenarkan Yu selaku defendan ketiga, memfailkan penyataan pembelaan selepas pendengaran permohonannya untuk membatalkan saman tersebut.

“Kami telah katakan yang kami tidak perlu memfailkan penyataan pembelaan sehingga permohonan membatalkan saman (didengari) kerana dari awal lagi kami merasakan tidak ada sebab untuk beliau (Najib) untuk meneruskan (saman tersebut).

“Jadi dalam kes Yu, mahkamah telah bersetuju dengan kami, dia tidak perlu untuk memfailkan penyataan pembelaan sehingga pendengaran permohonan pembatalan saman tersebut,” katanya.

Yu merupakan saksi pendakwaan ke-54 dalam perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang sedang dihadapi Najib.

Bekas perdana menteri itu melalui Tetuan Shafee & Co telah memfailkan saman tersebut pada 9 Dis tahun lepas dan menamakan AmBank, AMMB Holdings Berhad serta Yu sebagai defendan.

Menurut pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa AmBank dan Yu melakukan kecuaian ketika mengendalikan akaun banknya (berakhir 694, 880, 898 dan 906) dengan mendedahkannya kepada Low.

Najib mendakwa defendan tanpa kebenaran telah mendedahkan penyata bank, transaksi debit dan pengiriman wang, dan baki dana akaun 694 kepada Low sebagai pihak ketiga.

Beliau mendakwa bahawa defendan tidak berhubung dengannya untuk melaporkan tindakan Low mengenai akaun bank tersebut dan bank itu telah memudahkan pihak ketiga yang tidak sah untuk membuat pemindahan wang antara akaun 880, 898 dan 906.

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai butiran penyata akaun banknya sendiri, dan dokumen atau berkaitan lain oleh pihak bank di bawah arahan Low.

Najib mendakwa Low dengan bantuan pihak ketiga yang tidak dibenarkan, telah membuat 20 urus niaga untuk menguruskan akaun-akaun berjumlah RM12 juta melalui beberapa kiriman wang tempatan dan asing dan akaun tersebut telah 'ditandakan merah' oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Bekas perdana menteri itu berkata, defendan gagal melaporkan dan mendapatkan arahan langsung daripadanya, walaupun akaunnya ditandakan merah.

Najib juga mendakwa bahawa beliau hanya mengetahui perbuatan yang dilakukan oleh defendan semasa perbicaraan SRC, selepas pendakwaan mendedahkan perbualan antara Yu dan pihak ketiga.

Beliau memohon ganti rugi khas, umum, teruk dan teladan daripada defendan.

Lihat Komen
ADS