Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ini doktor yang beri amaran awal, tapi dituduh sebar berita palsu
Diterbitkan:  Feb 4, 2020 2:31 PM
Dikemaskini: 9:19 AM

Pada awal Januari lalu, pihak berkuasa China di bandar Wuhan cuba untuk menyembunyikan berita mengenai penemuan koronavirus baru.

Apabila seorang doktor memberi amaran kepada rakan-rakan perubatannya mengenai wabak berkenaan, dia didatangi polis yang memintanya agar berhenti berbuat demikian.

Sebulan kemudian, doktor sama dijulang sebagai wira apabila dia menceritakan tentang pengalamannya dari katil hospital.

“Hello semua, ini Li Wenliang, seorang pakar oftalmologi (pakar mata) di Hospital Pusat Wuhan,” katanya seperti dipetik BBC News.

Beliau menggambarkan bagaimana cuainya tindak balas pihak berkuasa tempatan di Wuhan, ketika minggu-minggu awal wabak itu tercetus.

Pada Disember, ketika sedang bekerja di hospitalnya, Dr Li mendapati tujuh kes virus mirip Sars iaitu virus yang mencetuskan epidemik global pada 2003.

Kes-kes tersebut pada awalnya dipercayai berpunca dari pasar makanan laut Huanan di Wuhan, dan pesakit-pesakit tersebut dikuarantin di hospital.

Pada 30 Disember, dia menghantar pesanan kepada rakan-rakan doktornya dalam satu kumpulan sembang, memberikan amaran tentang wabak tersebut dan menasihatkan mereka untuk mengenakan pakaian perlindungan bagi mengelakkan jangkitan.

Namun apa yang doktor berkenaan tidak tahu, penyakit itu merupakan koronavirus yang baru ditemukan.

Empat hari kemudian, dia dikunjungi oleh pegawai-pegawai daripada Biro Keselamatan Awam yang memintanya menandatangani satu surat. 

Dalam surat tersebut, dia dituduh “membuat kenyataan palsu” yang “mengganggu keamanan sosial dengan teruk”. 

“Kami memberi kamu amaran: Jika kamu tetap berdegil dengan kebiadapan ini, dan meneruskan aktiviti yang melanggar undang-undang ini, kamu akan dibawa ke muka pengadilan- faham?”

Di bawahnya tertera tandatangan Dr Li, berserta tulisan: “Ya, saya faham”.

Dia merupakan salah seorang daripada lapan orang yang disiasat polis kerana “menyebarkan khabar angin”.

Hujung Januari, Dr Li memuat naik salinan surat tersebut di media sosial Weibo, menjelaskan apa yang terjadi, manakala pihak berkuasa tempatan meminta maaf kepadanya.

Namun, segalanya sudah terlambat.

Dalam minggu-minggu awal bulan Januari, pegawai-pegawai di Wuhan menegaskan bahawa hanya mereka yang berhubung dengan haiwan sahaja yang boleh dijangkiti virus itu.

Tiada panduan dikeluarkan untuk perlindungan doktor.

Seminggu selepas dilawati polis, Dr Li merawat seorang wanita dengan glaukoma (penyakit mata). Dia tidak tahu wanita itu telah dijangkiti koronavirus.

Cerita Dr Ling di hantaran Weibonya, pada 10 Januari, dia mula batuk-batuk, dan sehari kemudian menghidap demam, manakala dua hari kemudian dia dimasukkan ke hospital. Ibu bapanya juga jatuh sakit dan turut dimasukkan ke hospital.

Hanya sepuluh hari kemudian- pada 20 Januari- baru China mengisytiharkan wabak itu sebagai satu kecemasan.

Kata Dr Li, dia telah diuji beberapa kali untuk mengesan koronavirus, semuanya memberikan hasil negatif. Bagaimanapun, pada 30 Januari, dia membuat hantaran: “Hari ini, ujian asid nukleik menunjukkan hasil positif. Akhirnya, saya didiagnosis (dengan virus ini).

Hantaran itu menerima ribuan komen dan kata-kata semangat.

“Pada masa hadapan, doktor-doktor akan menjadi lebih takut untuk memberikan amaran awal apabila mereka menemukan tanda-tanda penyakit berjangkit”, kata seorang pengguna.

“(Untuk mencapai) Persekitaran kesihatan awam yang lebih selamat … kita memerlukan berjuta-juta Li Wenliang”. 

Lihat Komen
ADS