Perdana Menteri Pakistan Imran Khan berkata beliau akan menyertai Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 (Sidang Kemuncak KL) di masa hadapan, dan menyuarakan rasa kesal kerana tidak dapat menghadiri persidangan yang diadakan buat julung kalinya Dis lepas itu.

Dalam memberi penjelasan mengenainya beliau berkata ada beberapa “sahabat” yang merasakan persidangan itu akan memecah belah ummah.

Bagaimanapun menurutnya ia ternyata satu tanggapan yang salah kerana ia bukan niat persidangan itu, sebagaimana yang terbukti selepas berakhir persidangan.

"Ia terbukti, tujuannya bukan untuk memecah belah ummah, Sidang Kemuncak KL tidak pernah berniat demikian. Sudah tentu saya akan datang (Sidang Kemuncak) nanti,” katanya dalam sidang media bersama dengan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad selepas berlangsung mesyuarat antara mereka di Putrajaya hari ini.

Imran Khan yang sedang dalam lawatan kerja dua hari tiba di Malaysia malam tadi.

Imran Khan berkata beliau akan menghadiri Sidang Kemuncak akan datang kerana merasakan ia amat penting bagi negara-negara Islam untuk mendidik negara-negara barat mengenai Islam dan memberi penjelasan mengenai sebarang salah faham yang timbul mengenainya.

Beliau berkata negara-negara Islam memerlukan media, dan menambah kerjasama media bersama akan dapat membentuk imej positif mengenai Islam dan membanteras ‘Islamophobia’.

Ditanya sekiranya keputusan beliau tidak menghadiri Sidang Kemuncak KL yang lepas memberi kesan kepada hubungan Pakistan dengan negara-negara Islam yang lain, Imran Khan berkata ia tidak memberikan apa-apa kesan.

- Bernama