Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saifuddin jelaskan beza PKR, PAS dalam isu PM
Diterbitkan:  Feb 4, 2020 10:00 PM
Dikemaskini: 2:00 PM

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, menjelaskan perbezaan di antara beliau dengan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, dalam menangani isu peralihan jawatan perdana menteri.

Menurut Saifuddin, sokongan yang diberikannya kepada Dr Mahathir Mohamad bermula sejak sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14 lagi dan berterusan selepas itu.

“Sementara (ketika itu) Takiyuddin menyokong Najib Razak yang dikaitkan dengan pemerintahan kleptokrat dan hanya mengubah (sokongan) terhadap Dr Mahathir selepas Najib jatuh,” katanya seperti dipetik BH Online hari ini.

Terdahulu, Takiyuddin menyifatkan Saifuddin bersikap kurang ajar terhadap Mahathir - yang juga pengerusi Bersatu dan PH - apabila berpendapat PAS memberikan sokongan kepada perdana menteri ketujuh Malaysia itu selepas Najib kalah.

Menurut Takiyuddin, kenyataan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna itu adalah gambaran perbuatan "kurang ajar" terhadap orang yang melantiknya.

"PAS yang mempunyai 18 anggota parlimen berhak membuat pendirian menyokong Mahathir sebagai perdana menteri sehingga habis penggal dan dalam masa sama menolak sebarang usaha dan cita-cita individu tertentu yang berhasrat menjadi perdana menteri kelapan dalam penggal ini," katanya.

Sebelum itu Saifuddin membangkitkan isu sokongan diberikan PAS melalui presiden parti itu, Abdul Hadi Awang, kepada Mahathir.

"Berbeza dengan Hadi, hanya nampak kelebihan Tun (Dr Mahathir Mohamad) selepas pemimpin kleptokrat kesayangannya sudah hilang kuasa.

"Bahkan Hadi waktu itu (sebelum PRU ke-14) anggap Tun hanya layak uruskan klinik, bukan negara.

"Hadi tidak perlu tunjuk jaguh untuk mengajar pemimpin PH berenang," katanya. 

Menurut Saifuddin sikap PH adalah iaitu menerima dan menyokong kepemimpinan Mahathir dan bukannya mengusulkan undi tidak percaya seperti yang dicadangkan PAS.

Menurut beliau, PH mempunyai badan dikenali majlis presiden yang menghimpunkan pemimpin kanan parti komponen untuk berbincang tanpa sebarang unsur ugutan.

Lihat Komen
ADS