Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DIGP: Memang perlu undang-undang lebih keras berkaitan pemandu mabuk

Undang-undang yang lebih tegas memang diperlukan untuk menangani masalah pemandu mabuk yang mengancam keselamatan jalan raya, kata Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor.

Justeru, kata Mazlan, pihak polis mengalu-alukan hasrat kerajaan yang ingin meminda undang-undang sedia ada berkenaan perkara itu, termasuk dalam aspek hukuman.

“Kita alu-alukan pendekatan kerajaan untuk mengenakan tindakan sekeras-kerasnya mereka (pemandu) mabuk memandu dan penunggang motosikal sekarang.

“Tukar undang undang lebih kebal tangani fenomena ini, memang penting untuk wujudkan undang-undang yang keras,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Kontijen dan Daerah Terbaik Ops Selamat Tahun Baru Cina 2020 di Bukit Aman, Kuala Lumpur pagi tadi.

Mazlan berkata demikian ketika ditanya berkenaan cadangan sayap Wanita Parti Bumiputera Perkasa (Putra) agar pindaan undang-undang itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan maut.

Bagaimanapun Mazlan berkata cadangan hukuman penjara seumur hidup itu perlu dikaji dan dibincangkan terlebih dahulu.

Pada 29 Januari lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kabinet secara prinsip bersetuju untuk mengetatkan undang-undang sedia ada berkenaan pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah.


BacaK'jaan setuju secara prinsip ketatkan undang-undang berkaitan pemandu mabuk


Beliau berkata antara peruntukan yang bakal dikaji semula ialah Seksyen 41, 44 dan 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Seksyen 41 berkaitan kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan. Seksyen 44 dan 45 pula antara lain berkenaan memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah, sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan.

Mengikut peruntukan undang-undang semasa, individu yang memandu dalam keadaan bahaya sehingga menyebabkan kematian boleh dihukum mengikut Seksyen 41 akta berkenaan, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum antara dua hingga sepuluh tahun dan denda antara RM5,000 dan RM20,000.

Mengikut Seksyen 44 pula, individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan, boleh dihukum penjara antara tiga hingga sepuluh tahun dan didenda antara RM8,000 dan RM20,000.

Menjangkakan pindaan dapat dibawa ke sidang parlimen Jun ini, Loke berkata pindaan tersebut juga akan menyentuh kandungan alkohol dalam badan pemandu, yang menurutnya pada masa ini tidak mengikut piawaian antarabangsa.

Mazlan turut ditanya berkenaan kes penyalahgunaan dadah yang antara lain melibatkan Adun Dengkil Adhif Syan Abdullah dan empat pegawai khas politik pada 12 Januari lalu.

Menurutnya, polis masih menunggu keputusan laporan patologi untuk tindakan lanjut.

"Saya rasa tak lama, akan dapat (akan terima) keputusan patalogi. Tak lama akan dapat (laporan)...tunggu sabar ya," katanya.

Dalam serbuan yang dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Puchong, Petaling Jaya itu, sejumlah 17 individu ditahan dengan 16 daripadanya positif dadah selepas menjalani ujian air kencing.

Lihat Komen
ADS