Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Farhash mohon bahagian dalam saman Yusoff Rawther dibuang

Setiausaha politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak memfailkan permohonan untuk membuang beberapa perenggan dalam saman Muhammad Yusoff Rawther terhadapnya.

Farhash mendakwa bahagian tersebut merupakan "usaha politik" dan salah guna proses mahkamah demi kepentingan politik.

Dia yang juga pengerusi PKR Perak memfailkan permohonan itu melalui firma guaman Messrs Azwar & Partners di Pendaftar Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 25 Oktober tahun lalu.

Notis permohonannya menyatakan dia mahu membuang sembilan perenggan dalam pernyataan tuntutan Yusoff dalam saman yang difailkannya September lalu.

Selain Farhash, setiausaha akhbar Anwar, Tunku Nashrul Tunku Abaidah turut disaman Yusoff berkaitan pergaduhan yang didakwa berlaku di pejabat Anwar di Bukit Gasing, Petaling Jaya pada Mei lalu.

Yusoff (kiri) dan peguamnya, Haniff Khatri

Menurut salinan afidavit sokongan Farhash yang dilihat Malaysiakini hari ini, dia mendakwa perenggan tersebut sebagai salah guna proses mahkamah dan bukan saja tidak relevan dengan saman utama, tetapi boleh satu "usaha politik" dan bermotif politik.

"Saya percaya pernyataan dalam perenggan tersebut hanyalah usaha politik plaintif (Yusoff) dengan menggunakan dan/atau menyebut dan/atau mengaitkan nama serta reputasi Anwar sebagai ahli politik terkenal di Malaysia." katanya.

Farhash mendakwa tidak wajar untuk Yusoff memasukan perenggan tersebut memandangkan Anwar tidak terlibat dalam insiden yang didakwa berlaku itu dan tiada kaitan dengan saman yang difailkannya.

"Pernyataan yang bermotifkan politik ini telah menyebabkan liputan media secara meluas di alam maya yang secara tidak semena-mena mempalitkan imej dan nama Anwar.

"Saya percaya dalam masa sama pernyataan plaintif dalam perenggan tersebut yang mencetuskan liputan media elektronik telah memberikannya satu kelebihan politik dengan menggambarkan terdapat kekacauan dalam pejabat Anwar dan menggambarkan plaintif sebagai mangsa.

"Dengan mengaitkan nama Anwar antara lain adalah untuk mentrivialkan dan mensensasikan isu yang tiada kaitan dengan punca tindakan plaintif terhadap defendan," katanya lagi.

Farhash juga mendakwa perenggan tersebut perlu dibuang kerana tidak menunjukkan sebarang kaitan secara langsung antara saman Yusoff terhadapnya.

Sementara itu, peguam Yusoff, Mohamed Haniff Khatri Abdulla mengesahkan permohonan Farhash.

Yusoff, yang mendakwa pernah menjadi pembantu penyelidik kepada Anwar, menjadi perhatian tahun lalu, menerusi dakwaan diserang secara fizikal di pejabat Anwar, dan dakwaan diserang secara seksual oleh Anwar.

Pada 14 Januari lalu, Pejabat Peguam Negara mengumumkan tiada pendakwaan akan dibuat terhadap Anwar kerana kekurangan bukti.

Pada 24 Januari pula, Farhash memfailkan saman fitnah terhadap Yusoff berkaitan dakwaan tersebut yang dibuat Yusoff dalam satu sidang media pada 3 Disember 2019.

Lihat Komen
ADS