PM: Ahli Parlimen Jasin dihadap ke mesyuarat khas
Ahli Parlimen Jasin Datuk Mohd Said Yusof akan dihadapkan ke mesyuarat khas dengan Perdana Menteri ,Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi dan Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai ketua whip Barisan Nasional (BN).
Ahli Parlimen Jasin Datuk Mohd Said Yusof akan dihadapkan ke mesyuarat khas dengan Perdana Menteri ,Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi dan Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai ketua whip Barisan Nasional (BN).
Perdana Menteri berkata, beliau dan Najib telah bersetuju bahawa Mohd Said akan disoal
serta diberi peluang memberi keterangannya di mesyuarat itu.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata tarikh mesyuarat khas tersebut belum ditetapkan lagi.
"Mesyuarat akan mendengar daripada Yang Berhormat (Mohd Said) sendiri tentang beberapa perkara dan ada beberapa perkara juga yang akan disoalkan (oleh mesuyarat kepada Mohd Said)," katanya dalam sidang media di Johor Bahru lewat petang ini.
Sebelum itu beliau menyaksikan teater muzikal "Balada Sang Adi Putera" di stadium tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru.
Balada itu yang menampilkan antara lain Datuk Rahim Razali dan penyanyi Ramli Shariff diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-60 Umno yang berlangsung di Istana Besar Johor Bahru pagi tadi.
Abdullah berkata mesyuarat berkenaan juga akan dihadiri penolong-penolong whip BN.
Beliau berkata, isu membabitkan Mohd Said itu juga telah dibangkitkan di Dewan rakyat.
Mohd Said menjadi tumpuan laporan media selepas akhbar New Straits Times menyiarkan laporan mengenai seorang ahli Parlimen yang meminta Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia supaya 'menutup sebelah mata' terhadap kes rampasan balak tersebut.
Letak jawatan
Mohd Said kemudiannya mengakui bahawa beliaulah yang dimaksudkan dalam laporan tersebut, tetapi berkata beliau berbuat demikian untuk mahu membantu 'sebuah syarikat bumiputera'.
Berikutan laporan tersebut, Datuk Shahrir Abdul Samad, telah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BBC) selepas tindakannya menyokong usul pembangkang untuk merujuk Mohd Said kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, tidak disokong oleh ahli BBC yang lain.
Mohd Said Yusof juga mengakui bahawa syarikatnya Binyu Sof Enterprise adalah ejen penghantaran bagi kayu balak yang dirampas Jabatan Kastam di Melaka.
Mohd Said memberitahu demikian kepada pemberita di Dewan Rakyat berhubung laporan terbaru NST semalam yang mengaitkan ahli Parlimen Jasin itu dengan syarikat yang terbabit dalam kes berkenaan.
Menurut laporan NST, satu laporan setebal enam muka yang mengandungi butiran terperinci mengenai kejadian tersebut dan apa yang berlaku ketika Mohd Said menemui pegawai Kastam, telah dihantar kepada Kementerian Kewangan bulan lalu.
Seorang pegawai kastam berkata, laporan tersebut juga ada menyebut mengenai 'suasana panas' ketika Mohd Said berurusan dengan jabatan berkenaan.
Pegawai kastam terbabit memberitahu Mohd Said, jika mereka melakukan apa yang dikehendakinya, ia akan mencemarkan integriti jabatan berkenaan dan mereka perlu menguatkuasakan undang-undang.
Berikutan itu, mereka tidak memenuhi permintaan Mohd Said dan meneruskan tindakan merampas balak berkenaan dan mengenakan bayaran kompaun terhadap ejen yang mengimportnya.
NST juga memetik seorang pegawai kanan kastam sebagai berkata, walaupun ianya menjadi tugas ahli Parlimen untuk membantu orang awam, tetapi "adalah tidak patut mereka membantu penyeludup".
Sementara itu, Mohd Said memberitahu pemberita pagi ini bahawa ahli Parlimen dibenar menjalankan perniagaan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.