Umno hari ini memilih pengerusi eksekutif Sapura Holdings, Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir sebagai Tokoh Melayu Terbilang sempena sambutan ulangtahun ke-60 parti tersebut kerana kecemerlangannya dalam bidang sains dan teknologi sehingga mampu memajukan syarikat telekomunikasi tersebut.

Sapura Holdings Berhad dilahirkannya pada 1975 dan secara beransur-ansur menjadikannya sebuah konglomerat cemerlang sehingga kini.

Pada tahun 2001, Shamsudin (foto kanan sekali) beliau disenaraikan di tempat ke-19 dalam senarai 40 nama warga Malaysia terkaya dalam majalah Malaysian Business.

Beliau menerima anugerah tersebut daripada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Istana Besar Johor Bahru, tempat sambutan itu berlangsung pagi ini. Pengasas syarikat Sapura Holdings situ menerima sekeping sijil, pingat emas dan wang tunai RM100,000.

Jurutera lulusan Brighton Technical College, United Kingdom itu, kemudiannya menyumbangkan hadiah wangtunai tersebut untuk tabung biasiswa pagi pelajar anak yatim.

Shamsudin berkhidmat di Jabatan Telekom sebelum menyertai sektor swasta dalam industri automatif sebagai Pengarah Eksekutif United Motor Works.

Beliau juga memegang pelbagai jawatan dalam sektor awam dan swasta, antaranya pengerusi Universiti Teknologi Mara (UTM) 1981, pengerusi Bank Islam Malaysia Berhad (1993), ahli Institut Jurutera Marin United Kingdom dan ahli Institut Jurutera Malaysia(1990), pengerusi Institut Teknologi Maklumat Asia Pasifik(1995), Fellow Institut Pengarah Malaysia, pengerusi Uniphone Telecommunications Berhad (2000) dan Fellow Akademi Sains Malaysia (Teknologi Maklumat) (2000/01).

Antara anugerah yang diterimanya kerana kejayaan memimpin Sapura Holdings ialah Anugerah Pengurusan Asia Ketiga(kategori pengurusan pemasaran), Anugerah Pengurusan Asia Keempat (kategori anugerah pengurus besar), anugerah Maal Hijrah, Anugeran Perkhidmatan Eksport Cemerlang, Anugerah Pencapaian Kejuruteraan Asean daripada Kelab Alumni bagi Sekolah Perniagaan Harvard Malaysia.