Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Isu pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang diangkat semula berkemungkinan untuk menutup masalah dalaman parti-parti gabungan PH, kata Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Memberi kenyataan yang agak lunak, beliau berkata, perkara itu belum lagi diputuskan secara rasmi malah tidak dibincangkan kedudukan perkara itu oleh PH sendiri.

Tunggu (tengok) selepas ini. PH pun belum menentukan kedudukannya (cadangan PPSMI).

"Mungkin isu ini ditimbulkan (sebab) nak tutup masalah dalaman parti-parti dalam PH," katanya pada sidang media selepas menyampaikan syarahan perdana bertajuk 'Pemetaan Baru Dunia' sempena 30 tahun membangun bersama Islam di Kota Bharu, malam tadi.

Terdahulu isu PPSMI kembali dicadangkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk dilaksanakan semula.

Kenyataan mengenainya dimuat naik di You Tube rasmi beliau, namun tidak menjelaskan bagaimana dasar itu akan dilaksanakan.

Susulan itu pelbagai reaksi bantahan terhadap cadangan tersebut oleh banyak pihak termasuk di kalangan pimpinan PAS

Sebagai rekod Abdul Hadi dan PAS antara pihak yang lantang membantah PPSMI ketika dilaksanakan kali pertama pada 2003, malah presiden PAS itu turut hadir memimpin demonstrasi pada 6 Mac 2009.

Pada 6 Mac 2018, anggota parlimen Marang itu tampil menyelar cadangan Mahathir mempertimbangkan pelaksanaan semula PPSMI sekiranya PH mentadbir negara selepas PRU14. 

Sementara itu Abdul Hadi berkata, setakat ini belum ada keputusan rasmi oleh kerajaan pusat berhubung perkara itu.

"Itu belum lagi keluar satu kenyataan (rasmi), cuma benda yang lama dah ada kajiannya," katanya.

Lihat Komen
ADS