Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Spekulasi k'jaan perpaduan: Lihat kepentingan rakyat - Ahli MT Umno
Diterbitkan:  Feb 6, 2020 10:37 AM
Dikemaskini: 2:49 AM

Spekulasi penubuhan kerajaan perpaduan membabitkan Bersatu, Umno dan PAS yang dibincangkan sebelum ini perlu dilihat dalam konteks kepentingan rakyat.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Khaidhirah Abu Zahar, berkata rakyat kini sengsara di bawah kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Sebenarnya saya mengambil langkah terbuka terhadap sebarang kritikan yang menerjah sudut parti serta meraikan perbedaan pendapat antara ahli parti, kerana ia adalah resmi politik yang memerlukan keterbukaan dan kematangan setiap tubuh dan para pemain politik.

"Tetapi dalam isu ini, kita sepatutnya melihat konteks dengan lebih jauh dan realistik kerana ia melibatkan rakyat Malaysia yang sengsara di bawah pentadbiran kerajaan hari ini. Ya, rakyat sedang sengsara.

"Kesengsaraan rakyat kita tidak boleh tutupi dengan ketakjuban berpolitik hingga melupakan kesengsaraan rakyat dalam terbeban dengan kos sara hidup, tiada peluang pekerjaan, masalah pengangkutan awam, pendapatan keluarga yang tidak setimpal, serta hal ehwal Melayu, dan agama Islam.

"Di mana kalian semua, kerajaan PH ketika rakyat sengsara dengan pelbagai isu kini?," katanya dalam satu kenyataan.

Pada 3 Feb lalu, Anggota Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam tampil membidas presidennya sendiri, Ahmad Zahid Hamidi yang didakwanya mahu bekerjasama dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

“Saya amat malu hari ini kerana mempunyai seorang 'presiden yang lemah' dan tiada jati diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Lokman turut mengepil petikan rakaman audio sepanjang tiga minit 18 saat, yang didakwanya diucapkanZahid ketika muncul dalam mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional Umno.

Antara lain, petikan audio itu menyatakan bahawa bersandarkan Muafakat Nasional, Umno perlu mengikut tindakan PAS "supaya tidak tertinggal di belakang", selain bagi menyelamatkan Umno daripada diharamkan.

“Bagaimana pula dgn nasib bossku (Najib Razak)? Adakah lebih mudah untuk kita menyelesaikan masalah bossku bila kita bersama-sama dengan PAS, atau dalam satu organisasi yang kita boleh membuat keputusan?

“[...] Kalau (Umno) diharamkan ada di kalangan kita mengatakan, Oh kita ada organisasi lain yang kita boleh bergerak. Oh kita ada PAS. Ada di kalangan ahli-ahli Parlimen pun kata kita nak masuk PAS. Eh, PAS dah masuk sanalah,” kata petikan audio itu lagi.

Bagaimanapun, petikan audio itu tidak ada menyebut langsung nama “Mahathir” atau “PH” secara spesifik.

Dalam pada itu, Khaidirah ataupun lebih dikenali sebagai Dira berkata, rakaman audio yang menjadi kerahsiaan parti tidak seharusnya disebarkan oleh mana-mana pemimpin Umno.

Walaupun secara dasar membantah cadangan kerajasama itu, namun amat tidak wajar menyerang presiden Umno secara keras dan kasar.

Jelasnya lagi, hakikat yang perlu diakui bahawa hanya blok pembangkang yang konsisten memperjuangkan isu semasa rakyat di negara ini.

Katanya lagi, suka atau tidak, majoriti rakyat Malaysia adalah Melayu, Islam dan kerajaan haruslah berpandukan kepada perjuangan Melayu, Islam, demi kesejahteraan dan keharmonian negara ini.

"Kerosakan yang dilakukan oleh kumpulan pemimpin yang tidak ada pengalaman mentadbir dari PH menyebabkan negara kita mundur terkebelakang berbanding negara jiran Singapura dan Indonesia, termasuk episod-episod memalukan yang kerap menghuni negara akibat menteri yang tidak punyai kredibiliti untuk mentadbir.

"Saya ingin nyatakan secara jelas, bahawa kerajaan pakatan ini sebenarnya tidak mempunyai kriteria yang boleh diharapkan untuk mengemudi negara melainkan dengan komen 'lucu' para menteri mereka, serta perbuatan yang merendahkan-rendahkan rakyat dan negara mereka sendiri," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS