Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno dijangka muktamadkan isu kerjasama dengan Bersatu esok

Umno dijangka memuktamadkan isu kerjasama dengan Bersatu dan cadangan pembentukan kerajaan campuran esok.

Malaysiakini difahamkan dua mesyuarat akan berlangsung bagi membincangkan perkara itu.

"Jika tiada bantahan daripada Majlis Tertinggi (MT), kerjasama itu nampaknya akan menjadi kenyataan.

"Esok sebelah pagi akan berlangsung mesyuarat jawatankuasa politik, manakala sebelah petang MT Umno dijangka akan membuat keputusan mengenai perkara itu," kata sumber dalaman Umno hari ini.

Spekulasi mengenai kerajaan campuran membabitkan Bersatu, Umno dan PAS tercetus sejak 3 Feb lalu apabila Anggota Majis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam mendedahkan mengenainya.

Lokman tampil membidas presidennya sendiri, Ahmad Zahid Hamidi yang didakwanya mahu bekerjasama dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

“Saya amat malu hari ini kerana mempunyai seorang 'presiden yang lemah' dan tiada jati diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menyertakan petikan rakaman audio selama tiga minit 18 saat, yang didakwanya diucapkan Zahid ketika dalam mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional Umno.

Antara lain, petikan audio itu menyatakan bahawa bersandarkan Muafakat Nasional, Umno perlu mengikut tindakan PAS "supaya tidak tertinggal di belakang", selain bagi menyelamatkan Umno daripada diharamkan.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan pula dalam kenyataannya semalam berkata 'lamaran' terhadap Umno perlu dibawa ke meja perbincangan terlebih dahulu.

Beliau berkata, beberapa perkara perlu dipertimbangkan, antaranya tujuan kerjasama itu sama ada iklhas atau strategik untuk penetingan bangsa, agama dan parti atau sebaliknya.

Mohamad juga mengingatkan Umno agar tidak 'terpesona dengan nafsu', dipercayai merujuk kepada spekulasi kerajaan campuran.


Baca: Mat Hasan: Pesona nafsu sangat merbahaya


Sebelum ini, bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein dikaitkan dengan gerakan untuk membentuk kerajaan melalui pintu belakang.

Bagaimanapun anggota Parlimen Sembrong itu menafikannya dan Umno turut membuat ketetapan sebarang rundingan hanyalah melalui presiden parti itu.

Dalam pada itu, sumber memaklumkan yang dia ada bertemu dengan pucuk pimpinan Umno baru-baru ini dan diberi bayangan mengenai lamaran itu.

"Dia (Zahid) membayangkan (kerjasama itu) secara tersirat. Tapi tidak berterus terang," jelasnya.

Perkembangan terbaru itu menyaksikan segelintir pemimpin Umno yang terdiri daripada "kem bekas perdana menteri Najib Razak" seperti Lokman tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Bagaimanapun pemimpin parti itu yang bersama Zahid menyokong kerjasama itu demi kepentingan politik negara yang dikatakan tidak stabil di bawah Pakatan Harapan (PH).

Lihat Komen
ADS