Gara-gara memaki hamun anggota polis yang bertugas, seorang pemandu lori dan seorang juruwang masing-masing didenda RM300 atau penjara dua hari oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.

N Subramaniam dan R Shamini, kedua-duanya berusia 26 tahun, mengaku salah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali.

Mereka didakwa berkelakuan tidak senonoh terhadap L/Kpl Nuridayu Rosli dengan memaki hamun anggota polis terbabit di kaunter aduan Balai Polis Sentul pada 4 Jan lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 94 Akta Polis 1967 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Ia memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM500, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Rajdeep Singh Bhupinder Singh memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan itu kesalahan pertama dan mereka tiada rekod jenayah sebelum ini.

- Bernama