Malaysia perlu memainkan peranan proaktif dalam menggunakan forum Persidangan Negara-negara Islam (OIC) dan Negara-Negara Asia Tengara (Asean) untuk membincangkan asas-asas keganasan serta cara menanganinya, kata presiden Keadilan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Wajah Islam sebagai agama yang mementingkan kedamaian, persaudaraan dan keselamatan harus diperluaskan melalui forum OIC," kata Wan Azizah dalam kenyataannya yang diterima malaysiakini , hari ini.

Parti itu juga menggesa kerajaan mendesak pengesahan pelbagai perjanjian berhubung masalah pengganasan yang sedia ada selain melaksanakan cadangan yang telah dibuat.

"Tindakan susulan adalah penting kerana persoalan serius ini tidak harus menjadi retorik politik sama ada dalam negeri ataupun peringkat antarabangsa," kata beliau.

Beliau turut menggesa pihak Amerika Syarikat dan sekutunya supaya menghentikan serangannya keatas Afghanistan dengan segera.

"Serangan ini terlalu banyak mengorbankan jiwa orang awam, kanak-kanak termasuk pekerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sejak dimulakan Ahad lalu," katanya.

Justifikasi tidak adil

Selain itu, menurut beliau pihak kerajaan juga tidak harus menggunakan serangan keatas bandaraya New York pada 11 September itu "menyempitkan ruang demokrasi negara ini dan menjustifikasikan tindakan tidak adil seperti penahanan (ISA) tanpa bicara lawan politiknya".

"Hadapkan mereka ke mahkamah terbuka sekiranya kerajaan mempunyai bukti kukuh" katanya.

Tambah beliau lagi, kerajaan perlu menyediakan forum yang sesuai bagi rakyat menyatakan pandangan secara sah untuk mereka menyalurkan pandangan dan menghilangkan "rasa tertekan, kecewa atau terpinggir".

Tiga hari lalu, enam lagi yang didakwa anggota Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) telah ditahan dibawah seksyen 73 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Awal bulan lalu, sembilan anggota kumpulan itu dihantar ke kem tahanan Kamunting.

Sebelum itu pada Jun lalu, tiga pemimpin Keadilan iaitu naib presiden Tian Chua, ketua pemudanya Mohamad Ezam Mohd Nor, ahli jawatankuasa pusat parti itu Saari Sungib, penulis malaysiakini Hishamuddin Rais dan dua aktivis refomasi Dr Badrul Amin Bahron serta Lokman Noor Adam dihantar ke kem itu.