Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman kerajaan untuk melucut hak terhadap RM192 juta yang didakwa berkaitan dengan dana 1MDB daripada Umno.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menolak saman melucut hak itu ketika permulaan prosiding pagi ini.

Zaini memutuskan baki wang di dalam akaun bank Umno pada Mei 2019 tidak berkaitan dengan sebarang duit yang didakwa didepositkan oleh bekas presidennya Najib Razak.

"Tidak ada baki wang yang dimasukkan oleh DSNR (Najib Razak) dalam akaun (Umno)," katanya, sambil menambah bahawa RM192 juta itu telah lama dibelanjakan.

Umno dalam serahan kepada mahkamah menegaskan bahawa 192 juta sudah dibelanjakan semasa pilihan raya umum lalu, antaranya untuk aktiviti politik lain.

Umno adalah antara 41 entiti dan individu yang dikenakan saman pelucuthakkan dari SPRM untuk mendapatkan sejumlah RM270 juta wang yang didakwa berkaitan dengan 1MDB.

Dalam prosiding yang sama, Zaini juga menolak saman kerajaan untuk melucutkan dana didakwa berkaitan 1MDB daripada Wanita MCA, Perano Sdn Bhd dan Binsabi Sdn Bhd.

Jumlah yang dinyatakan dalam saman perlucutanhak itu berjumlah RM300,000, RM337,634.78, dan RM777,250 masing-masing dari Wanita MCA, Perano dam Binsabi.

Perano adalah anak syarikat firma tekstil Jakel Trading, manakala Binsabi merupakan syarikat pengurusan acara.

Ketika membaca penghakiman lisan secara ringkas hari ini, Zaini berkata peguam Umno berjaya menunjukkan tidak ada RM192 juta yang didakwa disimpan dalam akaun bank CIMB milik parti politik itu.

Hakim itu merujuk kepada pertikaian saman melucut hak itu bahawa RM192 juta hasil daripada kegiatan haram telah masuk ke akaun Umno daripada akaun Najib melalui cek antara April dan Ogos 2013. Akaun Umno kemudian dibekukan pada tahun 2018 sebagai sebahagian daripada siasatan oleh SPRM.

"Saya melihat baki akaun responden (Umno) tidak boleh dikatakan sebahagian wang daripada DSNR.

"Pengeluaran daripada akaun bank responden (sebelum akaun dibekukan pada 2018) memberi justifikasi kepada responden bahawa wang itu telah lama dibelanjakan.

"Tidak ada wang DSNR di dalam akaun (Umno) yang ditinggalkan. Sekalipun kita menganggap wang itu datang dari sumber tidak sah, namun perintah melucut hak hanya boleh dibuat terhadap (jumlah RM192 juta)," kata Zaini.

Pada mulanya, hakim mengarahkan untuk semua akaun bank yang terjejas supaya dibatalkan perintah pembekuan dengan serta-merta.

Walau bagaimanapun, Timbalan Pendakwara SPRM, Mahadi Abdul Jumaat membuat permohonan secara lisan untuk menangguhkan sementara perintah itu tanpa menunggu pendengaran permohonan rasmi pihak DPP untuk menangguhkan semua keputusan mahkamah hari ini, sementara menunggu rayuan pendakwaan ke Mahkamah Rayuan.

Mahadi berkata pendakwaan akan memfailkan Notis Rayuan secepat mungkin menjelang minggu depan.

"Kami (pendakwaan) percaya terdapat isu-isu undang-undang yang perlu diselesaikan kerana ia melibatkan duluan (precedent) yang sangat penting yang akan ditentukan oleh Mahkamah Rayuan.

"Isunya di sini adalah isu (permohonan di Mahkamah Rayuan) akan menjadi tidak berguna.

"Kami bimbang jika akaun (Umno, Wanita MCA, Perano dan Binsabi) dibebaskan (ditarik perintah pembekuan) kepada responden (hari ini) dan jika keputusan rayuan (di Mahkamah Rayuan) memihak kepada perayu (pendakwaan), maka kami akan menghadapi masalah dalam usaha untuk mendapatkan kembali jumlah yang dikeluarkan kepada responden, maka rayuan itu sia-sia," kata Mahadi.

Walau bagaimanapun, permohonan untuk menangguhkan sementara perintah menarik balik pembekuan akaun mendapat bantahan daripada empat peguam responden.

Zaini kemudian membenarkan permohonan pendakwaan untuk menangguhkan sementara waktu perintah menarik balik pembekuan akaun-akaun bank berkenaan sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Rayuan.

"Perintah pembekuan (akaun) kekal sehingga pelupusan permohonan penangguhan (oleh pihak pendakwaan)," kata Zaini sambil menambah bahawa pihak pendakwaan perlu memfailkan permohonan penangguhan rasmi secepat mungkin supaya tarikh pendengaran bagi permohonan tersebut boleh ditetapkan tidak lama lagi.

Apabila ditemui selepas prosiding, Hariharan menjelaskan bahawa saman pelucuthakan kerajaan terhadap Umno pada mulanya bernilai RM212.97 juta, tetapi jumlah tersebut telah diturunkan kepada RM192 juta.

Mahadi juga mengesahkan kepada media bahawa saman fitnah terhadap Umno telah diturunkan dari RM212.97 juta kepada RM192 juta.

Ketika ditemui selepas prosiding, peguam utama Umno, Hariharan Tara Singh menjelaskan saman pelucuthakan kerajaan terhadap Umno pada mulanya untuk dana RM212.97 juta, tetapi jumlah tersebut telah diturunkan kepada RM192 juta.

Mahadi juga mengesahkan perkara sama kepada media.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS