Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Paip pecah: Bekalan air di 57 kawasan Gombak terjejas

Sebanyak 57 kawasan di Gombak, Selangor hari ini mengalami gangguan bekalan air sementara susulan kejadian paip pecah pada sistem paip di Rumah Pam Hulu Kelang awal pagi ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan hari ini memaklumkan insiden pada pukul 5.15 pagi itu menyebabkan berlaku penurunan air ke paras 0.72 meter di Kolam Air Madonna berbanding paras normal 4 meter.

Susulan itu, Air Selangor telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) dengan menggerakkan 25 lori tangki air dan dua lori tangki jumbo bagi membantu pelanggan yang terjejas dengan keutamaan diberikan kepada pengguna dan premis kritikal serta kecemasan termasuk hospital.

“Bagi mengelakkan kelewatan perkhidmatan lori tangki, pengguna turut dinasihat mendapatkan bantuan air kecemasan di Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang disediakan di AEON Big Ampang, Taman Dagang Permai, Ampang yang dibuka bermula pukul 9.30 pagi ini.

“Air Selangor sedang giat melaksanakan kerja-kerja pembaikan paip itu yang dijangka siap pukul 6.30 petang ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, bekalan air akan disalurkan semula kepada pengguna selepas paras kolam ditingkatkan ke paras normal dan pemulihan bekalan air secara berperingkat-peringkat bagi kawasan yang terjejas bergantung kepada kedudukan altitud.

Menurut Air Selangor, kejadian paip pecah itu menyebabkan gangguan bekalan air berterusan kepada pengguna di kawasan berkenaan selepas dua kejadian sama di Taman Ukay Heights dan Taman Ampang Utama yang berlaku pada Rabu, namun, kerja baik pulih bagi dua paip pecah itu siap sepenuhnya pada hari yang sama.

Untuk perkembangan terkini, maklumat lanjut dan semakan kawasan terjejas, pengguna boleh layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com dan laman sosial Twitter, Facebook, Instagram atau aplikasi telefon bimbit Air Selangor.

- Bernama

Lihat Komen
ADS