Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Catuan air Melaka: Fasa kedua libatkan hotel, industri - KM

Pelaksanaan fasa kedua catuan bekalan air di negeri ini yang diteruskan pada Isnin hadapan bakal melibatkan pengguna bagi sektor perhotelan dan perkilangan.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata penjadualan tersebut dijangka hanya melibatkan 60 peratus pihak industri berkaitan terutamanya di zon satu.

Beliau berkata pelaksanaan itu bukan bererti bekalan air di negeri ini tidak mencukupi namun ia bertujuan bagi memastikan bekalan air tidak terputus untuk memenuhi keperluan rakyat.

"Pihak Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) juga telah berjumpa dengan pihak-pihak industri ini bagi menjelaskan perkara itu dan berbincang bagaimana SAMB boleh salurkan bekalan terutama kepada mereka yang amat memerlukan penggunaan air dalam kapasiti banyak.

"Kebanyakan mereka mempunyai kemudahan tangki air yang boleh menampung keperluan secukupnya selain difahamkan ada di antara mereka yang mempunyai tangki yang boleh digunakan untuk membekalkan air untuk tempoh dua hingga tiga hari," katanya kepada pemberita selepas melawat penduduk di Bukit Baru di Melaka hari ini.

Adly berkata, catuan itu juga melibatkan selang satu hari sahaja dan sepatutnya ia tidak menimbulkan masalah selain pihaknya menafikan sistem penjadualan itu akan dipanjangkan kepada tempoh dua hari catuan air.

"Setakat ini, memang tidak ada dibincangkan mengenai perkata itu dan penjadualan itu masih sama, kekal sehari ada air dan sehari lagi tiada air," katanya.

Dalam pada itu, paras air di Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah pada masa ini pada 27.8 peratus dengan 8,570 juta liter air, manakala dua lagi empangan di Jasin iaitu Empangan Jus adalah 31.8 peratus (13,750 juta liter air) dan Empangan Asahan 58.9 peratus (410 juta liter air).

Sebelum ini,tempoh catuan bekalan air di Melaka dilaksana bagi tempoh dua minggu pertama bermula 29 Jan lepas membabitkan 550,673 orang iaitu 62.8 peratus penduduk, namun ia tidak membabitkan hospital, kawasan industri dan pusat pelancongan.

Catuan itu bagi memastikan bekalan air mencukupi bagi menghadapi cuaca panas kering dalam fasa kedua Monsun Timur Laut dijangka berakhir bulan hadapan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS