Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu PPSMI perlu diteliti, elak jadi bahan politik - Rais

Isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) memerlukan penelitian yang sangat mendalam sebelum dilaksanakan dan perlu mengelak isu itu dijadikan bahan politik sesetengah pihak.

Pengerusi Yayasan Budi Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata kajian itu juga perlu melihat semula latar belakang pendidikan dalam perlembagaan negara yang mewajibkan pengajaran semua subjek dalam bahasa kebangsaan.

"Saya berpendapat PPSMI ini perlu disegmenkan dengan maksud di peringkat tertentu dan tidak boleh disekaliguskan. Kemahiran Bahasa Inggeris tidak hanya melalui Matematik dan Sains sahaja tetapi sejauh mana pengukuhan penguasaan untuk bahasa kedua ini perlu terus dipelajari.

"Kita tidak mahu juga Bahasa Melayu yang kita perjuangkan berada di tangga terbawah kerana kita mahukan Bahasa Melayu ini menjadi bahasa ilmu, bahasa antarabangsa, kebangsaan, komersial dan perdagangan," katanya selepas Majlis Sepakat Anak Seni di Kota Bharu, hari ini.

Semalam kerajaan belum membuat sebarang keputusan untuk pelaksanaan PPSMI di sekolah dan menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan sudah menubuhkan satu jawatankuasa kecil untuk meneliti pelaksanaan semula PPSMI dan keputusannya akan dibuat secepat mungkin.

Rais berkata pihaknya sama sekali tidak menolak agar dua mata pelajaran itu diajar dalam Bahasa Inggeris tetapi kerajaan perlu bertindak secara profesional dalam menangani isu tersebut kerana khuatir ia akan dituduh mengikut selera politik atau pihak tertentu.

"Justeru saya sarankan kedudukan Bahasa Melayu sebagai tiang seri tamadun kita perlu didukung,” katanya.

Ketika berucap Rais mahukan para penulis di negeri ini terus mengangkat budaya dan Bahasa Melayu yang kini dilihat semakin dipinggirkan sesetengah pihak terutama golongan muda.

"Bahasa rojak yang boleh merosakkan Bahasa Melayu sudah semakin menguasai anak muda," katanya.

Pada majlis itu, Rais mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada beberapa persatuan penulis di negeri ini untuk meneruskan aktiviti mereka.

- Bernama

Lihat Komen
ADS