MP Jasin: Peluang saya untuk jelaskan pada PM
Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof Mohd Said berkata beliau akan memberi kerjasama sepenuhnya dan menggunakan peluang ketika mengadap mesyuarat khas untuk memberi penjelasan kepada Perdana Menteri kerana didakwa campurtangan dalam rampasan import kayu balak bergergaji dari Indonesia.
Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof Mohd Said berkata beliau akan memberi kerjasama sepenuhnya dan menggunakan peluang ketika mengadap mesyuarat khas untuk memberi penjelasan kepada Perdana Menteri kerana didakwa campurtangan dalam rampasan import kayu balak bergergaji dari Indonesia.
Mesyuarat khas itu diadakan untuk mendapat penjelasan Mohd Said berhubung tindakannya meminta pegawai Kastam Diraja Malaysia "menutup sebelah mata" berhubung kes import kayu balak bergergaji dari Indonesia.
Setakat ini, katanya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, belum memanggilnya dan beliau sedang menunggunya, sama ada melalui surat atau panggilan telefon bila tarikh saya perlu hadir," katanya kepada Bernama semalam.
Khamis lalu, Perdana Menteri memberitahu pemberita, beliau dan Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai ketua whip Barisan Nasional (BN) bersetuju Mohd Said disoal serta diberi peluang memberikan keterangannya dalam mesyuarat itu, yang belum ditetapkan tarikhnya.
Ahli Parlimen Jasin itu menjadi tumpuan apabila beliau dilaporkan meminta pegawai Kastam supaya "menutup sebelah mata" dan tidak merampas kayu balak bergergaji yang diimport dari Indonesia walaupun ia menyalahi spesifikasi yang ditetapkan pihak berkuasa.
Mohd Said berkata, beliau juga telah memberi penjelasan kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohamed Ali Rustam apa yang sebenarnya berlaku mengenai isu berkenaan.
Rela disiasat
Ditanya mengenai siasatan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadapnya, Mohd Said berkata beliau rela disiasat dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada agensi tersebut.
"BPR belum temui saya tetapi saya tahu mereka sudah mula menjalankan siasatan dengan mengunjungi pelabuhan Sungai Rambai dan Kuala Linggi," katanya.
Beliau berkata, tindakannya menemui pegawai Kastam terbabit adalah atas dasar menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ahli Parlimen bagi membantu pengusaha bumiputera yang menghadapi masalah dalam mengimport kayu balak bergergaji dari Indonesia.
Katanya, Binyu Sof Enterprise adalah syarikat miliknya yang terlibat sebagai ejen perkapalan dan penghantaran barang termasuk bagi import kayu balak bergergaji dari Indonesia di pelabuhan tukar barang Sungai Rambai di daerah Jasin dan Kuala Linggi di Alor Gajah.
Katanya mereka yang datang meminta bantuan daripada beliau bukan sahaja pengusaha bumiputera malah bukan bumiputera termasuk yang menggunakan khidmat ejen lain.
"Perniagaan mereka merosot teruk sejak Kastam mengenakan tindakan tegas. Mereka rugi bila kayu yang besar sikit dikenakan kompaun dan disita kemudiannya dilelong," katanya sambil menambah, beliau menemui pengarah dan penolong pengarah Kastam negeri supaya mereka hanya mengkompaun dan tidak menyita kayu itu untuk dilelong.
'Kita jadi ejen'
Ditanya mengenai laporan beliau juga Pengarah Purnama Mutiara Sdn Bhd, syarikat yang pernah didenda kerana cuba menyeludup keluar cakera padat video (VCD) cetak rompak, Mohd Said mengakui Purnama Mutiara adalah syarikat beliau tetapi menafikan VCD itu miliknya.
"VCD itu orang lain punya, kita hanya jadi ejen," katanya sambil membetulkan bahawa kejadian itu berlaku di pelabuhan Sungai Melaka pada 1999 dan bukannya di Pelabuhan Kuala Linggi sebagaimana yang dilaporkan.
Sebelum ini, katanya, Purnama Mutiara beroperasi sebagai ejen perkapalan, ejen feri dan pengendali pelabuhan tukar barang di Sungai Melaka.
Bagaimanapun, katanya, apabila pelabuhan di Sungai Melaka itu ditutup untuk kerja pengindahan Sungai Melaka pada 2000, perniagaannya berpindah ke pelabuhan Kuala Linggi, dengan hanya menumpukan kepada perkhidmatan ejen perkapalan dan penghantaran melalui syarikat Binyu Sof Enterprise.
Sementara itu, BN Melaka bersetuju dengan keputusan Perdana Menteri supaya Mohd Said dihadapkan ke mesyuarat khas tersebut.
Pengerusi BN Melaka yang juga Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata Mohd Said perlu memberi penjelasan apa yang sebenarnya berlaku.
"Saya setuju apa yang diputuskan oleh Datuk Seri Abdullah semalam (Khamis). Kita perlu dapat penjelasan kerana ada yang disebut oleh Mohd Said dalam Parlimen dan ada yang disebut di luar Parlimen," katanya pemberita di Melaka.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.