Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M: Tak benar saya pelawa pembangkang tubuh gabungan baru
Diterbitkan:  Feb 8, 2020 11:48 PM
Dikemaskini: 4:06 PM

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyangkal spekulasi berkenaan usahanya untuk membentuk gabungan baru dengan parti pembangkang, yang digelar sesetengah pihak sebagai "Pakatan Nasional".

Mahathir berkata, beliau bersikap terbuka untuk menemui mana-mana pihak termasuk pembangkang, tetapi mengakui ada yang menafsirkan pertemuan itu sebagai percubaan menubuhkan gabungan baru.

"Banyak cerita-cerita yang dibuat. Ini kerana saya terbuka, jumpa dengan semua orang (termasuk) parti lawan, NGO, badan agama dan kaum.

"Saya terbuka dengar pendapat mereka. Kalau saya tak tahu pendapat mereka, maka saya tak boleh tangani masalah yang timbul.

"Itu yang berlaku tapi ada orang tafsirkan perjumpaan saya dengan pemimpin parti lawan bermakna saya sedang berusaha untuk buat satu campuran (parti politik) baru. Ini tidak benar," katanya dalam wawancara bersama sebuah laman berita baru, The Malaya Post.

Mahathir berkata beliau tidak mengajak mana-mana parti pembangkang untuk menubuhkan kerajaan baru.

"Tak benar saya pelawa mereka (parti pembangkang), tetapi mereka sedar bahawa mereka sudah hilang kekuatan. Sebagai parti lemah mereka terpaksa tukar pendekatan iaitu sanggup sokong (saya) tetapi ada dengan bersyarat walaupun tak disebut (mereka).

"Syaratnya kalau saya ambil tindakan yang sesuai dengan pendapat mereka, tetapi kalau tak sesuai saya tak fikir mereka akan sokong," katanya.

Beliau memberikan tindakan Gabungan Parti Sarawak yang mengundi tidak menyokong usul meminda perlembagaan bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung Tanah Melayu, sebagai contoh.

'Kini bukan macam dulu'

Bekas presiden Umno itu tu mengakui lanskap politik telah berubah, di mana parti lamanya suatu ketika dahulu dominan dan parti komponen BN lain terpaksa mengikutnya.

Tetapi, beliau yang kini pengerusi PH berkata keadaan semasa memerlukan konsensus daripada lima parti, iaitu empat parti komponen PH dan sekutu mereka, Parti Warisan Sabah.

"Dahulu semuanya berjalan dengan licin kerana parti yang berkuasa ialah Umno, dan Umno ini dominan dan ada majoriti dua pertiga. Umno pada masa itu boleh buat apa saja sehingga ada pemimpinnya yang buat salah tapi masih kekal (berkuasa).

"Tetapi sekarang jika kita tak buat keputusan yang boleh diterima lima parti, kita tak boleh jalankan tugas. Jadi kita perlu bendung perasaan diri (peribadi) supaya kita dapat terima pendapat lain yang telah diubah suai untuk menepati kehendak lima parti," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS