Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Annuar: Umno sebenarnya buang Lokman Adam
Diterbitkan:  Feb 9, 2020 4:18 PM
Dikemaskini: 8:44 AM

Lokman Adam, yang merupakan penyokong tegar bekas perdana menteri Najib Razak sebenarnya dibuang parti dan secara tidak langsung telah hilang kelayakan daripada memegang jawatan Majlis Tertinggi (MT) parti, kata Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.

Menurut Annuar, keputusan itu diputuskan oleh ahli MT dan diluluskan oleh Biro Politik Umno.

“Sesungguhnya Lokman dalam banyak perkara tidak bercakap benar dan tidak memahami Perlembagaan Umno terutama yang melibatkan kedudukan dan bidang kuasa presiden dan ahli MT yang dilantik.

“Dia juga cuba mencipta persepsi konon presiden telah menyalahi kuasa, selain melaga-lagakan Najib Razak dengan kepimpinan tertinggi Umno.

“Najib Razak telah beberapa kali mengatakan bahawa beliau tidak berhasrat untuk menjadi presiden dan perdana menteri semula, justeru Lokman berbohong dan cuba mengeliru dan memberi harapan palsu kepada para pengikut beliau,” katanya lapor portal Umno Online, semalam.

MT Umno telah bermesyuarat petang Jumaat lalu, manakala pada sebelah pagi diadakan mesyuarat Biro Politik parti berkenaan.

Pada 7 Februari, dilaporkan bahawa Lokman telah dipecat daripada Umno oleh majlis tertinggi parti.

Pemecatan Lokman dipercayai berkaitan dengan pendedahan rakaman audio yang didakwa menggambarkan percubaan Zahid untuk meyakinkan pemimpin parti bekerjasama dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam satu kenyataan, Lokman mendakwa bahawa beliau telah dipecat dalam suatu mesyuarat melalui "proses mengundi angkat tangan".

Bagaimanapun, Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zakarshi menyifatkan pemecatan Umno sebagai "kurang bijaksana" kerana Lokman dipecat sebagai anggota Umno atas syor Biro Politik dan bukan atas syor Lembaga Disiplin.

Pada masa sama, Puad turut mempersoalkan kenapa bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussien tidak dikenakan tindakan sama.

"Tidakkah perbuatan beliau mengadakan pertemuan beberapa kali dengan Mahathir tanpa memaklumkan majlis tertinggi dan presiden Umno adalah melanggar disiplin parti.

"Ia juga tidak menghormati institusi presiden. Bukan kerana mahu mempertahankan Lokman tetapi tindakan mestilah adil dan jangan selektif.

"Apa pun saya telah menyuarakan pendirian saya ini dalam majlis tertinggi. Tapi gagal," katanya.

Lihat Komen
ADS