Terjemahan Tidak seorangpun calon dalam pilihanraya negeri Sarawak menarik diri apabila tamat tempoh tiga hari yang diberikan kepada mereka yang ingin berbuat demikian.

Pengarah Suruhanjaya Pilihanraya Negeri Sarawak, Noordin Che Ngah memberitahu malaysiakini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai mana-mana calon yang menarik diri.

Secara rasminya, calon-calon diberi tempoh hingga tengah malam Jumaat untuk memaklumkan sendiri jika ingin menarik diri. Pengundian akan diadakan pada 20 Mei depan.

Berikutan itu, pilihanraya Sarawak kali ini akan menyaksikan 156 calon bertanding merebut 69 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dua kerusi - Daro dan Dalat - dimenangi Barisan Nasional (BNtanpa pertandingan pada hari penamaan calon.

Kerusi Meradong pula akan menyaksikan pertandingan lima penjuru di mana calon BN Wong Zee Yeng dicabar oleh bekas orang kuat Supp, Frederick Wong. Tiga lagi ialah calon DAP Ting Tze Hui dan dua calon bebas David Tiong dan Junat Jawek

Rasa tidak puashati

Sementara itu, kalangan penganalisa politik menjangka, paling banyak, pihak pembangkang mungkin memenangi lima hingga enam kerusi di kawasan bandar dan luar bandar, atau paling tidakpun tiga kerusi.

Bagaimanapun, Barisan Bersatu Pembangkang (BBS) yang disertai Snap, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP serta beberapa calon Bebas, yakin mereka boleh menangi sehingga 12 kerusi.

"Rasa tidak puashati rakyat semakin menebal mengenai beberapa isu, termasuk kepimpinan negeri, rasuah dan masalah tanah," kata Ketua Penaja Penerangan Kongres Dayak Malaysia (MDC) yang belum didaftarkan.

Bagaimanapun ahli-ahli politik BN pula walaupun mengakui wujud rasa tidak puashati terhadap kerajaan percaya mereka tidak akan memberi undi kepada pihak pembangkang.

Sementara itu, badan pemantau pilihanraya bebas dan adil (Mafrel) dijangka mengadakan sidang akhbar esok untuk membalas kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, berhubung dakwaan Mafrel ada kecacatan dalam senarai pengundi. Berita asal